fbpx

Apabila hilang sifat perikemanusiaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

Dua minggu kebelakangan ini kes kehilangan nyawa sama ada akibat perbuatan jenayah atau bencana semakin kerap dilaporkan.

Ia bermula dengan kejadian runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai, Ipoh pada 8 Mac lalu yang menyebabkan dua pekerja tertimbus. Setakat ini nasib mereka masih belum diketahui.

Tiga hari kemudian seorang lelaki berusia 84 tahun pula dilaporkan hilang ketika mendaki bukit di Ipoh dan mayatnya ditemui oleh dua malim gunung kira-kira 10 hari kemudian di dalam sungai.

Paling menggemparkan kes melibatkan seorang wanita muda yang dibunuh kejam apabila mayatnya ditemui rentung di dalam bengkel sebuah sekolah menengah di Cheras, Kuala Lumpur pada minggu lalu.

Individu yang disyaki terlibat dalam kejadian itu iaitu seorang pengawal keselamatan sekolah telahpun didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh kelmarin.

Kes tersebut mendapat perhatian ramai kerana perbuatan pelakunya yang kejam termasuk ada yang mengaitkannya dengan kes-kes pembunuhan tragis dua dekad lalu melibatkan gadis bernama Noor Suzaily dan Canny Ong.

Lebih mengejutkan kejadian bunuh itu berlaku di dalam kawasan sekolah.

Tidak berakhir di situ, kita dikejutkan pula dengan kes seorang budak lelaki berusia 11 tahun yang dibelasah sehingga menemui ajal hanya kerana dituduh mengambil wang RM4 di asrama sebuah rumah kebajikan di Kuantan.

Apalah kudrat yang dimiliki seorang kanak-kanak untuk melawan atau mempertahankan diri apabila dia dicekik, disepak dan dihempas ke lantai oleh pelajar senior berusia 16 tahun.

Tidak dapat dibayangkan kesakitan yang ditanggung kanak-kanak asnaf tersebut yang pada mulanya disangka mengalami sawan.

Entah apa yang merasuk jiwa seorang remaja yang juga penghuni kompleks berkenaan sehingga sanggup memperlakukan mangsa sedemikian rupa seperti nyawa sudah tiada nilai lagi pada hari ini.

Dalam usia yang muda, pelajar terbabit sudah menjerumus dirinya dalam perbuatan jenayah dengan terlibat dalam kes membunuh.

Remaja itu tidak pun mengambil dadah sehingga menyebabkan dia bertindak di luar kawalan semasa kejadian, namun disebabkan perasaan dendam ekoran duit RM4, satu nyawa sudah melayang.

Manusia hari ini tanpa mengira usia seperti sudah hilang keperikemanusiaan. Dalam kes ini, kita kehilangan dua orang muda pewaris negara.

Seorang meninggal dunia, manakala seorang lagi mungkin akan menghabiskan separuh hayatnya di dalam penjara.

Apa yang penulis terharu bapa mangsa sempat meminta supaya anaknya dimaafkan sekiranya kanak-kanak itu melakukan kesalahan terhadap rakan-rakan dan pihak kompleks terbabit walaupun nyawa anaknya sudah tidak dapat dikembalikan.

Al-Fatihah buat Mohamad Hafdan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI