Teknik pancing layang atau fly fishing boleh dianggap masih baharu dalam kalangan kaki pancing di negara ini, namun teknik tersebut sudah cukup dikenali dan menjadi fenomena di negara-negara lain terutama di Barat.
Teknik pancing layang memerlukan penggunaan set joran khas pancing layang melibatkan sejenis mesin bulat.
Kejayaan pancingan tetap bergantung kepada kepandaian pemancing melayangkan tali pancing dan disebabkan itulah teknik ini dipanggil fly fishing.
Bagi pemancingan konvensional, pemancing akan menggunakan umpan yang berat atau lenturan hujung batang pancing untuk lempar umpan ke spot sasaran, tetapi pancing layang menggunakan teknik melayang tali pancing dan menggunakan umpan tiruan yang ringan.
———————————————————————————————————————————————————-
SEBAGAI seorang kaki pancing yang aktif sejak tujuh tahun lalu, Shamsuri Ahmad Aris, 40, kerap meluangkan masa lapangnya terutama pada cuti hujung minggu untuk melunaskan hobi itu bersama rakan-rakan.
Selain berkunjung ke lokasi kegemarannya, dia juga akan meneroka port dan lubuk baharu di sekitar Perak untuk mencari pengalaman memancing di kawasan yang berbeza.
Namun, berlainan dengan kebanyakan kumpulan pemancing yang menggunakan teknik memancing konvensional atau casting, Shamsuri dan rakan-rakannya menggunakan teknik layang yang masih belum popular di negara ini.
Pancing layang atau fly fishing itu sudah cukup dikenali dan menjadi fenomena di Eropah, Amerika Utara dan sebagainya.
“Sebelum ini saya banyak menggunakan teknik casting tetapi sejak tujuh bulan lalu, saya mula menggunakan teknik pancing layang kerana bagi saya ia lebih menyeronokkan selain menguji kemahiran pemancing itu sendiri.
“Kaedah casting atau konvensional lain lebih mudah dilakukan, sebaliknya teknik pancing layang ini sangat berbeza kerana memerlukan latihan terlebih dulu,” katanya kepada K2.
Menurut Shamsuri lagi, teknik pancing layang memerlukan penggunaan set joran khas pancing layang melibatkan sejenis mesin bulat.
Pun begitu jelasnya, kejayaan pancingan tetap bergantung kepada kepandaian pemancing melayangkan tali pancing dan disebabkan itulah teknik ini dipanggil fly fishing.
Shamsuri mengakui dia mula berjinak-jinak dengan kaedah pemancingan tersebut selepas membeli set joran pancing layang daripada seorang rakan tahun lalu.
Pada awalnya, ia hanya dijadikan koleksi peribadi tetapi selepas pertama kali mencuba teknik tersebut, dia semakin seronok kerana ia memberi pengalaman berbeza.

“Malah, saya sendiri turut menyertai pertandingan memancing Randuk For Lampam Volume 1 yang dianjurkan oleh Perak Fly Fishing Syndicate (PFFS) di Perak baru-baru ini dan ia sangat menyeronokkan,” ujarnya.
Teknik pancing layang boleh dianggap masih baharu dalam kalangan kaki pancing di negara ini.
Atas dasar itulah, sekumpulan kaki pancing layang yang menubuhkan PFFS mengambil langkah proaktif mempromosikan hobi memancing menggunakan teknik itu di negara ini.
Pengasas bersama PFFS, Rizal Effendi Arifen berkata, PFFS yang ditubuhkan secara tidak rasmi sekitar tahun 2017 oleh lima peminat pancing layang di Perak merupakan antara kumpulan paling aktif mempromosikan teknik tersebut di negara ini.
Jelasnya, bagi pemancingan konvensional, pemancing akan menggunakan umpan yang berat atau lenturan hujung batang pancing untuk lempar umpan ke spot sasaran, tetapi pancing layang menggunakan teknik melayang tali pancing dan menggunakan umpan tiruan yang ringan.
“Secara umumnya untuk melakukan pancing layang, pemancing perlu melayangkan tali pancing ke kiri dan kanan atau atas dan bawah supaya tali membentuk seperti ombak atau alunan.
“Tali yang beralun itulah yang akan menggerakkan umpan supaya lebih jauh ke tempat yang disasarkan,” terangnya.
Mengulas lanjut mengenai program-program PFFS, Rizal Effendi berkata, sehingga kini pihaknya telah menganjurkan empat program.
Ia meliputi pertandingan memancing Tarton Battle Challenge diadakan pada tahun 2018 di Kuala Gula, Taiping dan Peacock Bass Challenge pada tahun 2019 di Eco Park Botani di Ipoh.
Pada tahun 2020 pula, mereka menganjurkan acara PFFS Tying Contest yang merupakan pertandingan mereka bentuk dan menghasilkan umpan tiruan bagi teknik pancing layang.

“Program terbaharu yang kami anjurkan ialah Randuk For Lampam Volume 1 yang berlangsung pada 5 dan 6 Mac lalu bertempat di Sungai Kampar.
“Pada acara itu, seramai kira-kira 50 peserta yang merupakan pemancing layang dari seluruh negara datang ke Perak menyertai cabaran memancing ikan lampam di Sungai Kampar.
“Ini kerana kebiasaannya, ikan lampam hanya makan makanan asli di habitatnya sahaja tetapi di Sungai Kampar, ia agak unik kerana turut menyambar umpan tiruan yang diberikan menggunakan teknik pancing layang,” jelasnya.
Tambahnya, selain pertandingan kategori ikan lampam terberat, pemancing turut berpeluang bertanding kategori ikan istimewa sekiranya mereka berjaya membawa naik ikan spesies sikang, tengas, nyenyuar atau sebarau.
Tambahnya lagi, sebagai persatuan pemancing layang yang aktif, pihaknya turut menawarkan latihan secara tidak formal kepada kaki pancing termasuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan teknik pancing layang.
Latihan itu dilakukan menerusi sesi memancing secara berkumpulan yang diadakan setiap hujung minggu di beberapa lokasi sekitar Perak dengan ahli PFFS yang sudah mahir akan memberi tunjuk ajar terutama kaedah melayangkan umpan dan tali.
“Latihan dan pembelajaran tersebut adalah secara tidak formal dan pemancing baharu boleh terus mengaplikasi teknik pancing layang dengan tunjuk ajar pemancing yang sudah mahir.
“Ada juga sesi latihan melibatkan tenaga pengajar profesional kerana mereka lebih berpengetahuan dan berpengalaman luas.
“Apa yang paling menarik, selain pelajar melayangkan umpan dan tali, mereka juga boleh belajar teknik membuat umpan tiruan yang mereka tidak akan peroleh jika memancing teknik konvensional,” katanya.

Bagi membuat umpan tiruan, Rizal Effendi berkata, kebiasaannya mereka akan menggunakan bahan berbulu seperti bulu ayam, bulu burung, kambing, rusa dan sebagainya untuk diolah dan direka bentuk menjadi umpan yang akan menyerupai serangga.
Di situlah akan menguji tahap kemahiran dan kecekapan pemancing layang dalam menghasilkan umpan berkualiti.
Sementara itu, tenaga pengajar pancing layang bertauliah, Benjamin Foo Abdullah berkata, teknik pancing layang sebenarnya sangat popular di luar negara termasuk beberapa negara di Eropah, Amerika Utara, Afrika dan beberapa negara di Asia.
Dia yang mendapat pentauliahan tersebut daripada Persekutuan Pemancing Layang Antarabangsa sejak tahun
2011 itu berkata, di Eropah, pemancing menggunakan teknik pancing layang untuk memburu spesies ikan trout yang banyak mendiami kawasan sungai di pergunungan.
“Di negara ini, teknik pancing layang mula dipopularkan sekitar tahun 2000 dan para pemancing layang telah mengaplikasi teknik tersebut untuk memburu beberapa spesies ikan sungai seperti sebarau, lampam, ‘peacock bass’ dan beberapa spesies ikan air tawar lain.
“Bagaimanapun, ada juga kaki pancing yang menggunakan teknik pancing layang untuk memburu beberapa spesies ikan laut.

“Memang diakui, teknik ini masih baharu dalam kalangan kaki pancing di negara ini dan kebanyakan mereka masih selesa memancing menggunakan teknik konvensional disebabkan sudah terbiasa dengannya,” ujarnya.
Jelas Benjamin lagi, walaupun peratusan pemancing layang masih kecil di negara ini, tetapi mereka mempunyai komuniti tersendiri dan ditubuhkan secara tidak rasmi.
Akuinya, PFFS merupakan antara komuniti pemancing layang paling aktif mempromosikan teknik pancing layang dalam kalangan pemancing dengan menganjurkan pertandingan selain latihan asas.
“Di negara ini, hanya terdapat kira-kira 10 orang tenaga pengajar bertauliah dalam teknik pancing layang dan sebahagian mereka pula tidak begitu aktif melaksanakan kelas-kelas latihan atas sebab-sebab tertentu.
“Atas dasar itulah saya turun padang untuk bantu komuniti-komuniti pancing layang seperti PFFS mempromosikan hobi ini,” katanya.














