fbpx

Lelaki cuba bunuh isteri dijel lima tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini.

MELAKA – Tindakan kejam seorang pekerja pembersihan cuba membunuh isterinya dengan mencekik, memukul dan menekup muka mangsa menggunakan bantal berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim, Maziah Joary Tajudin, menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, M.M. Paramasivam, 49, yang mengaku bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati telah melakukan cubaan bunuh terhadap isterinya M. Santhi, 48, dengan cara menekup muka mangsa menggunakan bantal.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan jika ia menyebabkan cedera hendaklah pemenjaraan yang boleh sampai 20 tahun mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang mempunyai dua anak juga didapati dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan cara mencekik leher dan memukul muka wanita berkenaan.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000.

Dalam pertuduhan ketiga pula, tertuduh didapati telah menakutkan secara jenayah berbentuk ugutan secara lisan “mati lagi bagus” dengan cara mengacukan pemutar skru terhadap mangsa sama.

Bagi tindakan itu dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Kesemua perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 5 pagi, di sebuah rumah di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel, Bemban dalam daerah Jasin, pada 4 Februari 2020.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika tertuduh dalam keadaan mabuk.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya merayu agar hukuman ringan diberikan daripada tarikh ditangkap iaitu 14 Februari 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin memohon agar hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira keseriusan jenayah dilakukan tertuduh.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun bagi pertuduhan pertama dan satu tahun masing-masing bagi pertuduhan kedua serta ketiga.

Beliau bagaimanapun memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI