fbpx

Kes kematian dalam tahanan polis disiasat unit khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Semua kes kematian melibatkan tahanan dalam polis akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mulai tahun ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, kes berkenaan tidak lagi disiasat oleh anggota atau pegawai penyiasat bertugas dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau lokap di mana kejadian kematian itu dilaporkan.

“Ini bagi memastikan ketelusan siasatan berkaitan kes itu dan tidak akan berkompromi terhadap sebaran pelanggaran undang-undang serta salah laku tatatertib.

“Kes-kes berkaitan bukan sahaja disiasat di bawah aspek jenayah tetapi termasuk daripada aspek tatatertib,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan yang ingin tahu mengenai langkah pencegahan yang diambil Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengatasi kes kematian dalam tahanan.

Beliau juga meminta KDN menyatakan jumlah kematian tahanan yang dilaporkan seperti di lokap polis, depoh tahanan imigresen dan lain-lain agensi kerajaan dari tempoh Januari 2020 hingga Jun 2021.

Menjawab kepada pertanyaan berikut, Ismail memaklumkan sebanyak 17 kes kematian dalam tahanan polis dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas yang membabitkan kematian tertinggi di Selangor iaitu tujuh kes, diikuti Pahang dengan enam kes, Johor dengan dua kes, manakala masing-masing satu kes di Kedah serta Perak.

“Bagi tempoh Januari hingga Disember 2020, jumlah kematian dalam tahanan polis membabitkan 16 tahanan iaitu di Pahang merekodkan sembilan kes, Terengganu dua kes dan masing-masing satu kes kematian di Perlis, Perak, Melaka, Johor dan Sabah.

“Tahanan di bawah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tempoh Januari 2020 hingga Jun 2021, sebanyak 113 kematian tahanan di depot imigresen dilaporkan membabitkan 53 orang pada 2020 manakala sehingga Jun 2021 membabitkan 60 orang. Sementara sehingga 15 Mac lalu sebanyak 27 kematian disebabkan CovidD-19 dilaporkan,” katanya.

Jelasnya, bagi jumlah kematian dalam penjara, sebanyak 12 kematian dilaporkan pada tahun lepas dengan tujuh kematian banduan direkodkan di Penjara Kluang, Johor dan masing-masing satu kematian di Penjara Sungai Udang, Melaka; Penjara Simpang Renggam, Johor; Penjara Bentong, Pahang; Penjara Wanita Kajang, Selangor; dan Penjara Satelit Kuala Kangsar, Perak.

Bagi 2020, jumlah kematian dalam penjara membabitkan 13 banduan iaitu tujuh kematian di Penjara Kluang, dua kematian di Penjara Sungai Udang manakala masing-masing satu kematian di Penjara Sungai Buloh, Selangor; Penjara Kota Kinabalu, Sabah; Penjara Taiping, Perak; dan Penjara Pokok Senam, Pulau Pinang.

“KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil berat tentang hak asasi tahanan di semua lokap PDRM seluruh negara, termasuk usaha mengatasi kes tahanan mati semasa di bawah pengawasan PDRM.

“Sehubungan itu, untuk menambah baik pengurusan tahanan dalam lokap, PDRM telah menyediakan satu garis panduan standard yang lebih ketat temasuklah dalam menguruskan tahanan yang sakit, meningkatkan kekerapan rondaan pada waktu malam serta penambahan anggota yang menguruskan tahanan,” ujarnya.

Dalam langkah lain, Ismail berkongsi mengenai pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) telah dilakukan membabitkan 684 lokap polis, IPD dan ibu pejabat kontinjen PDRM bagi mengawasi serta memantau Orang Kena Tahan (OKT).

“Ia bertujuan dalam mengelak dari berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini semasa tempoh tahanan,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI