KULIM – Dalam kehidupan tiada siapa yang terlepas daripada diuji dengan masalah.
Begitu juga bagi pengasas produk penjagaan kesihatan, Annona, Ony Nurhusni Mahad Nor, apabila ibunya didiagnosis dengan sejenis penyakit kronik.
“Disebabkan usia ibu yang telah lanjut, dia tidak boleh menjalani rawatan tertentu yang lazim diberikan bagi merawat masalah itu.
“Sebagai seorang anak perempuan dan juga ahli farmasi, saya merasakan perlu mencari rawatan alternatif untuk merawat ibu saya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Setelah itu, melalui pembacaan dan kajian yang dilakukan, Ony Nurhusni mendapati potensi buah durian belanda yang mempunyai manfaat yang baik untuk masalah yang dihadapi oleh ibunya.

Selepas beberapa minggu mengamalkan pemakanan buah durian belanda, usahawan ini mendapati ibunya menunjukkan perubahan yang positif.
Namun begitu, beliau menyedari bahawa buah durian belanda tidak tahan lama dan cepat menjadi masam serta busuk sehingga tidak boleh dimakan.
Melihat akan permasalahan tersebut, beliau mendapat inspirasi untuk menghasilkan produk pertama Annona yang dipanggil sebagai Jus Annona.
Jus Annona diperbuat daripada 100 peratus buah durian belanda dan campuran bahan semula jadi bagi memastikan ia bertahan lama dan mempunyai khasiat.
Pada 2012, dengan keazaman untuk membantu orang lain, Ony Nurhusni telah menubuhkan sebuah syarikat iaitu MOS Nutraceutical (MOS Nutraceutical) Sdn. Bhd. dan melancarkan Jus Annona secara rasmi di pasaran.
“Pada masa itu saya hanya mempunyai tiga orang pekerja dan ibu pejabat Annona beroperasi di Kulim, Kedah,” jelasnya.

Kini usia Annona telah mencapai 10 tahun dan beliau merasakan baru seerti semalam membangunkan syarikat tersebut.
Banyak perubahan telah berlaku sepanjang satu dekad Ony Nurhusni mengusahakan perniagaan tersebut.
“Apa yang sama dari dulu sehingga sekarang adalah kesetiaan dan komitmen kakitangan yang tidak berkesudahan menjadi teras kepada kejayaan kami pada hari ini.
“Perniagaan terus berkembang dan memiliki pejabat yang lebih besar, memiliki farmasi dan juga gudang,” ujarnya.
Selain itu, Annona juga telah memiliki lapan lot pejabat, sebuah gudang, sebuah pusat sehenti Annona di Kota Kinabalu, Sabah; sebuah pejabat di Sibu, Sarawak dan kini mereka baru sahaja melabur untuk membina sebuah kilang.
Sepanjang tempoh berharga itu juga, Annona telah menerima pelbagai anugerah atas kejayaan mereka.
Pada tahun 2018, syarikat tersebut telah mendapat anugerah pertamanya iaitu Ikon Usahawan Kosmetik Kedah.
Kemudian pada tahun 2019, Annona telah dianugerahkan sebagai Successful People in Malaysia daripada Britshpedia.
Kejayaan yang dilakar oleh Ony Nurhusni tidak terhenti di situ sahaja apabila pada tahun 2020 syarikatnya menerima anugerah Brand Promising Award dan pada tahun lalu syarikat itu telah diiktiraf sebagai Syarikat Paling Pantas Bergerak di Malaysia untuk anugerah SME100 Award.
Sementara itu, sejak tahun 2016 juga, syarikat aktif menjalinkan hubungan dengan komuniti dan menyertai pelbagai kempen yang dijalankan oleh pelbagai pihak.
MOS Nutraceutical kini menawarkan produk lain merangkumi Vitamin C Skincare Series, Annona Bird’s Nest, Annona Bird’s Nest On The Go, Vitamin C Capsule dan Annona Strawberry Milkshake With Bird’s Nest. KOSMO! ONLINE














