fbpx

JPA komited mantapkan pengurusan sumber manusia sektor awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa komited bersama kementerian, jabatan dan agensi merentasi pelbagai sektor perkhidmatan dalam memantapkan pengurusan sumber manusia sektor awam.

JPA dalam satu kenyataan berkata, ia bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan sentiasa responsif kepada rakyat.

Katanya, pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) merupakan salah satu contoh pendekatan segera yang responsif terhadap keperluan rakyat oleh kedua-dua agensi bagi memastikan ia diselesaikan dengan jayanya.

“Pada Jun 2021 JPA telah meluluskan permohonan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi urusan pengambilan khas sebanyak 18,702 PPP secara one-off.

“Kelulusan itu adalah untuk membolehkan pengambilan dibuat bagi menangani kekurangan guru di sekolah rendah dan sekolah menengah khususnya dalam mata pelajaran tertentu,” katanya hari ini.

Menurut JPA, pihaknya pada Disember 2021 pula telah meluluskan permohonan kelonggaran syarat pukal skim perkhidmatan untuk pelantikan secara kontrak bagi 4,266 calon guru kontrak di bawah urusan pengambilan 18,702 PPP.

Menurutnya, pelaksanaan segera itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kecekapan sistem penyampaian menerusi pengisian jawatan secara optimum.

Tambahnya, mengenai kekosongan 11,111 perjawatan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), mekanisme penempatan dan latihan yang fleksibel serta mempunyai nilai tambah menerusi penggunaan teknologi dapat membantu kecekapan pengisian kekosongan perjawatan yang ada.

“JPA akan membuat pemantauan berterusan menerusi audit perjawatan bersama agensi untuk memastikan urusan pengambilan dapat dilaksanakan dengan segera bagi mengisi jawatan-jawatan yang telah diluluskan oleh agensi pusat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI