fbpx

‘Jangan harapkan duit suami semata-mata’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROZITA CHE WAN

DI sebalik glamor dan kerlipan lensa yang sentiasa mengiringi setiap langkah kehidupan, hakikatnya Rozita Che Wan atau Che Ta sama seperti ibu lain.

Meletakkan kepentingan anak di tangga teratas, segala yang diusahakan pelakon dan usahawan itu adalah untuk persediaan masa depan ketiga-tiga permata hatinya.

Lebih bermakna, saat menginjak usia 49 tahun pada 9 Mac lalu, tiada apa lagi yang ingin diharap Che Ta selain berdoa dikurniakan kesihatan berpanjangan agar dapat menjaga keluarga.

“Tiada apa yang diharapkan, cuma minta Allah mengurniakan tubuh badan yang sihat untuk meneruskan kehidupan dan kudrat mencari rezeki.

“Jika Allah nak tarik umur, biarlah selepas saya sudah menyediakan perancangan untuk anak-anak. Merekalah segala-galanya buat saya.

“Saya bekerja keras pun demi keselesaan dan persediaan masa depan mereka, namun pada masa sama masih dapat peruntukkan waktu berkualiti di rumah,” katanya kepada HibGlam.

Tidak hairan, biar sibuk dengan kerja penggambaran atau komitmen berkaitan kerjaya seni, Che Ta tetap memastikan tarikh penting keluarga, terutama sambutan hari lahir dapat diraikan bersama-sama.

Bersama anak-anak, termasuk dua puteranya, Ammar Effendy, 25, dan Aniq Ezzra, 23, mahu pun Aaisyah Dhia Rana, 8, kemesraan mereka bagaikan rakan karib yang sentiasa ‘sekepala’.

SEBAGAI wanita yang pernah melihat kekuatan dan melalui sendiri pengalaman bergelar ibu tunggal, Che Ta berpegang prinsip tidak semata-mata mengharapkan duit suami.

Manjakan anak

Jika di luar ramai melihatnya sebagai selebriti tersohor, namun di rumah Che Ta tetap melaksanakan tanggungjawab hakiki sebagai isteri dan emak tanpa culas.

Biar letih selepas seharian bekerja, katanya melihat wajah insan tercinta yang menunggu dia pulang membuatkannya puas walaupun sebaik sampai ada saja permintaan anak-anak.

‘’Memang ada kawan cakap saya terlalu manjakan anak. Macam baru-baru ini anak saya tunggu saya balik untuk bertanyakan mengenai baju yang patut dipakai untuk temu duga.

“Waktu itu saya baru saja sampai rumah tapi disebabkan permintaan anak supaya dipilihkan baju, secara tidak langsung saya jadi teruja sampai hilang penat.

“Sejak dahulu lagi anak-anak saya begitu, suka minta pendapat mahu pun bantuan saya. Saya gembira berbuat sedemikian. Sekali pun letih, saya tidak akan tolak permintaan mereka.

“Tak kisah orang kata saya suka manjakan mereka. Semua itu betul, manjakan anak sendiri. Bukanlah bermakna segala-galanya saya yang kena suap,” kongsi emak penyayang itu lagi.

DIPILIH sebagai duta kempen Hari Wanita Jols Luxe Fabrics, Che Ta berbesar hati dapat sama-sama menyumbang hasll jualan tudung jenama terbabit untuk membantu golongan ibu tunggal.

Duta Kempen Hari Wanita

Aktres tersebut ditemui pada kempen Jols for Rozita Che Wan yang direalisasikan bagi membantu ibu tunggal menerusi jualan tudung edisi terhad, Jols Luxe Fabrics.

Pada acara sama, isteri kepada pelakon Zain Saidin itu turut diumumkan sebagai duta kempen yang memperuntukkan 10 peratus daripada hasil jualan ke tabung golongan sasaran.

Katanya, dia terpanggil untuk sama-sama menggerakkan misi tersebut bersama pengasas Jols Luxe Fabrics, Johan Lim dan isterinya yang juga pereka, Alia @ Seri Hadia untuk membantu wanita lain.

“Buat permulaan sebanyak 10,000 helai tudung dikeluarkan.

“Sebanyak 10 peratus keuntungan akan disalurkan kepada persatuan ibu tunggal. Saya pernah bergelar ibu tunggal, jadi kempen ini sesuatu yang sangat positif dan perlu digerakkan.

“Misi mereka mahu golongan ibu tunggal meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Namun kita juga harus sama-sama beri sokongan,” katanya yang mengenali Johan sejak 10 tahun lalu.

Pengasas Jols Luxe Fabrics, Johan Lim pula berkata, dia dan isterinya, Alia memilih Che Ta sebagai duta kempen bagi memberi inspirasi dan membantu golongan ibu tunggal.

Koleksi tudung yang mendapat sentuhan isterinya itu direka khas mengikut personaliti yang sentiasa dinamik, penuh karakter dan berwarna garang.

Bercakap tentang aspirasi wanita, bekas pramugari itu melihat kaum Hawa sebagai individu kuat semangat yang mampu melaksanakan pelbagai tanggungjawab dalam satu masa.

CHE TA berharap komitmen sebagai pelakon Mem Bibik dapat diselesaikan sebelum kehadiran Ramadan.

Ubah persepsi

Kongsinya, andai dahulu wanita atau isteri lebih banyak berada di belakang suami, kini seiring peredaran semasa persepsi sedemikian semakin berubah.

“Macam mak saya, masa arwah ayah meninggal dunia dia baru berusia 35 tahun, malah ketika itu emak dalam pantang melahirkan adik bongsu saya.

“Bayangkan kehidupan kami adik-beradik seramai tujuh orang yang masih kecil.

“Sepanjang berkahwin, emak tak pernah kerja, namun dia mampu bangkit demi membesarkan anak-anak. Emak buat banyak kerja dalam satu masa demi mencari rezeki.

“Jadi takkan ketika saya pernah jadi ibu tunggal suatu ketika dahulu saya tak boleh kuat macam emak.

“Itu yang saya maksudkan, Kita jangan mudah putus harapan. Kena bangkit,” katanya lagi.

Secara terbuka Che Ta turut menitipkan pesanan kepada kaum wanita supaya berpada-pada dan tidak menunjukkan kebergantungan terhadap suami.

BERDEPAN simptom teruk termasuk sakit kepala, demam, batuk serta cirit- birit sewaktu dijangkiti Covid-19 baru-baru ini membuatkan Che Ta cukup berhati-hati terutama selepas kembali ke lokasi penggambaran usai tempoh kuarantin.

Korban

Ramai isteri memilih untuk menjadi suri rumah sebagai pengorbanan menjaga anak dan demi keluarga, manakala suami keluar bekerja. Secara peribadi, Che Ta melihat ‘manfaat’ lebih tinggi diperoleh jika sama-sama mencari nafkah.

“Dahulu saya ada pengalaman suami bekerja, manakala saya tidak. Tapi sebenarnya, lain yang berlaku jika kita pun sama-sama mempunyai kerjaya.

“Bagi saya, suami turut berasa bangga dengan kerjaya isteri, sekali gus akan lebih hormat terhadap teman hidup mereka.

“Senang cakap kita jangan terlalu bergantung kepada suami,” tambah pelakon jelita itu.

Bercakap tentang situasi semasa, Che Ta mengakui sering berasa risau terutama selepas ‘tumpas’ dengan jangkitan Covid-19, hingga terlantar tidak bermaya bulan lalu.

Berdepan simptom teruk termasuk sakit kepala, demam, batuk serta cirit- birit, membuatkan Che Ta cukup berhati-hati terutama selepas kembali ke lokasi penggambaran usai tempoh kuarantin.

“Rasa paranoid belum hilang. Saya kuatkan semangat untuk melengkap­kan penggambaran 20 episod drama Mem Bibik yang akan bersiaran awal Ramadan.

“Saya mahu drama itu cepat selesai kerana mahu berehat sepanjang bulan puasa.

“Saya berharap dapat memperuntukkan masa untuk menjalani ibadah puasa nanti di rumah, bukan berada di set penggambaran menghabiskan kerja yang tidak selesai.

“Tambahan pula sebelum musim Covid-19 menyerang dulu, kalau tiba Ramadan rasa seronok bertarawih seisi keluarga termasuk, adik-beradik dan anak-anak buah. Moga kali ini kami dapat peluang sebegitu lagi,” tutupnya.

ROZITA memastikan setiap tarikh penting semua anggota keluarga diraikan bersama-sama.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI