fbpx

Exco Johor bakal dilantik perlu isytihar harta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Ibrahim (kanan) berkenan menerima menghadap Onn Hafiz (tengah) dan Azmi (kiri) di Johor Bahru, semalam. - Foto ROYAL PRESS OFFICE

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah calon-calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang bakal dilantik perlu membuat pengisytiharan harta.

Sultan Ibrahim bertitah, bakal calon Exco perlu juga melalui semakan latar belakang yang menyeluruh dengan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jika ada yang tidak terpilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri jangan kecil hati.

“Semua boleh memberi perkhidmatan yang sebaiknya,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO) di sini hari ini.

Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, di Johor Bahru semalam.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.

Pertemuan bersama Sultan Johor berlangsung selama hampir sejam dan baginda turut bertitah supaya kelayakan akademik setiap calon-calon juga disemak kesahihannya dengan teliti.

“Pilihan raya sudah pun habis. Kini tiba masanya untuk semua wakil rakyat merapatkan barisan dan bekerja bersama-sama dalam memakmurkan Johor.

“Saya pegang kata-kata Dato Hasni, tiada ideologi ahli politik dan parti yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim,” titah baginda.

Sultan Johor bertitah, baginda sentiasa mengutamakan nasib rakyat dan begitu juga wakil rakyat yang dipilih perlu melaksanakan tanggungjawab dengan berkhidmat kepada rakyat.

“Mana-mana Exco yang tidak mampu melaksanakan tugas mereka kelak, maka Menteri Besar perlu segera menggantikan Exco berkenaan.

“Begitu juga nasihat saya kepada Menteri Besar supaya menumpu pada tugas dan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat. Jangan termakan budi.

“Diperingkat awal ini, Datuk Onn juga perlu bekerjasama dengan Dato’ Hasni dalam mendapatkan pandangan atau nasihat,” titah baginda.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI