fbpx
VLAHOVIC bakal menjadi sandaran Juventus untuk merobek gawang Vilarreal menjelang aksi kedua pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara di Stadium Allianz awal pagi esok. – AFP

Juventus enggan leka, ambil iktibar kebangkitan Real Madrid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TURIN – Pertemuan antara Paris Saint-Germain (PSG) dan Real Madrid sebelum ini menjadi panduan buat Juventus menjelang aksi timbal balik pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara menentang Villareal di Stadium Allianz awal pagi esok.

Jurulatihnya, Massimiliano Allegri menggesa barisan pemainnya supaya mengambil iktibar kegagalan PSG mara ke pusingan suku akhir selepas membenarkan Real bangkit meledak tiga gol.

Skuad The Old Lady itu masih belum berada dalam keadaan selamat memandangkan mereka sekadar mencatat keputusan seri 1-1 pada perlawanan pertama yang berlangsung di Stadium La Ceramica bulan lalu.

“Saya percaya ramai orang menyaksikan apa yang berlaku pada pertemuan antara PSG dan Real sebelum ini. Keadaan boleh berubah dalam sekelip mata sekiranya anda leka dan membenarkan pasukan lawan menyerang.

“Oleh itu, saya mahu semua pemain memberikan fokus 100 peratus sepanjang perlawanan kerana apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak. Kami belum menang apa-apa lagi, jadi perlu tampilkan aksi terbaik,” kata Allegri.

Pada masa sama, beliau juga berharap penyerang, Dusan Vlahovic akan kembali menemui sentuhan berbisa bagi membantu Juventus melayakkan diri ke pentas suku akhir Liga Juara-Juara.

“Bukan perkara mudah untuk Vlahovic selepas tiba di Juventus kerana dia berdepan tekanan lebih tinggi. Pasukan ini sentiasa bermain untuk menang, jadi setiap sentuhan mampu me­ngubah keputusan perlawanan,” ujarnya. – AGENSI

POPULAR