fbpx

Contohi formula negara lain untuk basmi kemiskinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19, usaha untuk membantu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan masih berjalan. – GAMBAR HIASAN

Oleh DR. NUR HAIRANI ABD. RAHMAN

SALAH satu masalah sosial utama yang melanda dunia sejak dahulu adalah berkaitan kemiskinan.

Pada 2019, Bank Dunia melaporkan hampir 9.2 peratus, bersamaan 689 juta penduduk dunia tergolong dalam kumpulan miskin tegar.

Secara umumnya, kemiskinan tegar ditakrifkan sebagai individu yang memperoleh pendapatan kurang daripada RM1.90 sehari.

Jumlah terlalu minimum ini menyebabkan kumpulan miskin tegar tidak dapat menjalani kehidupan lebih baik terutama di kawasan bandar yang lazimnya mempunyai kos sara hidup terlalu tinggi.

Kemiskinan ini juga mewujudkan jurang kualiti hidup antara penduduk miskin dan kaya, sekali gus melebarkan jurang ketidaksamarataan dalam kalangan masyarakat.

Keadaan ini menyukarkan lagi usaha untuk membasmi kemiskinan, sama ada di peringkat global atau lokal.

Indikator utama ini perlu diberi pertimbangan sewajarnya dalam pembentukan dan pelaksanaan dasar-dasar nasional pada masa akan datang, agar tiada keciciran berlaku dalam masyarakat.

Kemiskinan berlaku di mana sahaja, sama ada di negara maju mahupun negara membangun dan mundur.

Meskipun demikian, pelaksanaan dasar-dasar berkaitan kemiskinan yang dilaksanakan di beberapa negara seperti China penting untuk diberi perhatian.

Pada 1990, 750 juta penduduk di China hidup di bawah garis kemiskinan.

Ia menyamai dua per tiga daripada jumlah keseluruhan penduduknya.

Menariknya, pada 2012, berlaku penurunan mendadak apabila hanya 90 juta rakyat negara itu berada di bawah garis kemiskinan.

Tahun 2016 pula mencatatkan kira-kira 7.2 juta populasi di China (iaitu menyamai 0.5 peratus), dikategorikan sebagai miskin tegar.

Perubahan drastik untuk tempoh kurang daripada 30 tahun ini sangat menarik untuk diteliti.

Apakah formula yang digunakan kerajaan China bagi membasmi kemiskinan tegar dalam negaranya?

Apakah faktor-faktor yang membantu mereka membawa berjuta rakyatnya keluar daripada perangkap kemiskinan?

Persoalan-persoalan ini penting untuk diteliti dan difahami khususnya bagi mereka yang terlibat dengan pembentukan, penggubalan dan pelaksanaan dasar berkaitan pembasmian kemiskinan.

Meneliti perkembangan dan kemajuan di China, negara tersebut menggunakan pendekatan ekonomi dan sosial dalam menangani isu kemiskinan.

Bukan sahaja berjaya membebaskan berjuta rakyatnya daripada kemelut kemiskinan, bahkan berjaya menjadikan negara Tembok Besar itu sebagai salah satu negara kuasa besar ekonomi dunia pada ketika ini sebaris Amerika Syarikat, Jepun, Jerman dan United Kingdom.

Pada 2019, Bank Dunia melaporkan hampir 9.2 peratus, bersamaan 689 juta penduduk dunia tergolong dalam kumpulan miskin tegar. -GAMBAR HIASAN

Wajar untuk kita teliti bagaimana China menggunakan banyak pendekatan dalam membantu rakyatnya keluar daripada kemiskinan.

Strategi yang digunakan adalah pelbagai. Namun, terdapat tiga strategi yang menarik untuk dikupas.

Pertama, Program Pembangunan Agrikultur Nasional (1956-1967) menjadi pemangkin asas kepada pengukuhan sektor agrikultur negara tersebut.

Dasar ini secara tidak langsung memberi impak positif dalam membantu masyarakat, khususnya golongan petani yang jumlahnya menjangkaui satu per empat daripada jumlah keseluruhan warga China.

Kerajaan China berterusan memberi fokus kepada pembangunan sektor agrikultur hingga era 1980-an dengan pelbagai penambahbaikan terhadap dasar sedia ada serta memberi tumpuan utama kepada wilayah mundur.

Dasar bersifat terarah ini membantu wilayah-wilayah mundur untuk bangkit dan mengejar pembangunan.

Berbeza dengan beberapa negara lain terutama di Asia Tenggara, kebanyakan dasar pembangunan lebih tertumpu di kawasan maju.

Ini sekali gus mewujudkan jurang pembangunan tidak seimbang.

Keduanya, China dilihat begitu komited dalam memperkukuhkan dasar perlindungan sosial nasional.

Sejak era 1950-an, meskipun negara itu dibelenggu kemunduran ekonomi, namun usaha membantu rakyat miskin tetap diberi perhatian.

Pada ketika ini, kerajaannya telah menyediakan pelbagai keperluan asas termasuk pendidikan, khususnya kepada kanak-kanak dan remaja.

Negara China komited mengukuhkan sistem pendidikan dengan mewajibkan rakyatnya memperoleh pendidikan.

Buktinya, pada 2020, mereka membelanjakan sekitar AS$$817 bilion (RM3.4 trilion) atau lebih kurang empat peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalanm Negara Kasarnya untuk sektor pendidikan, berbanding 2.5 peratus dalam pertengahan era 1990-an.

Malah China turut merancang Pelan Pemodenan Pendidikan China menjelang 2035, yang menyasarkan pembangunan sektor pendidikan berkualiti sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan sasaran ke-4.

Ketiga, bagi memastikan kebajikan untuk rakyatnya dijaga, penekanan kepada aspek tadbir urus sosial yang menumpu kepada usaha membanteras kemiskinan turut diberikan.

Pada 2015, kerajaan China melaksanakan program membanteras kemiskinan dengan mewujudkan rangkaian pengurusan ke arah itu.

Strategi ini tertumpu kepada pengurusan di peringkat lokal dengan menyasarkan perkampungan miskin.
Pasukan terlibat dalam rangkaian pembasmian kemiskinan digerakkan di setiap lokaliti dan bekerjasama dengan masyarakat tempatan bagi memudahcara pengurusan kemiskinan.

Berdasarkan kepada pencapaian ini, Malaysia wajar menjadikan China sebagai penanda aras dalam membasmi kemiskinan.

Malaysia masih bergelut untuk mencapai sifar miskin tegar.

Sehingga kini, matlamat tersebut masih gagal direalisasikan.

Mungkin sudah tiba masanya untuk Malaysia belajar daripada China bagaimana untuk membasmi kemiskinan tegar.

Meneliti pembentangan Belanjawan 2022, didapati kerajaan Malaysia turut mengambil inisiatif dalam menumpukan perhatian terhadap tiga aspek sama iaitu pembangunan kawasan luar bandar, pengukuhan dasar perlindungan sosial serta memantapkan jentera kerajaan dalam pengurusan kebajikan masyarakat.

Perancangan belanjawan ini mengukuhkan lagi strategi membanteras kemiskinan dalam negara, meskipun Malaysia pada masa kini masih bergelut dengan impak pandemik Covid-19.

Jika ada usaha, komitmen dan kerjasama daripada kerajaan dan pelbagai pihak, sudah pasti Malaysia juga mampu mencapai sifar kemiskinan satu hari nanti.
————————————————————————————————————————————————
Dr. Nur Hairani Abd. Rahman ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan
dan Ekonomi, Universiti Malaya

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI