fbpx
Tangkap layar kiriman mesej seorang individu yang berkongsi kisah kehidupannya sebagai anak angkat dan mendakwa sering menjadi mangsa dera keluarga.

‘Panggil saya anak haram, minta belikan rumah sebagai balasan’ -anak angkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Membesar dalam sebuah keluarga angkat pastinya mempunyai cabaran dan dugaan yang tersendiri apabila sebagai anak perlu menagih kasih daripada orang lain.

Terbaharu, sebuah ciapan yang dimuat naik oleh pengacara dan personaliti televisyen terkenal, Ahmad Fedtri Yahya di laman Twitter yang berkongsi luahan seorang individu yang mengalami penderitaan hidup sepanjang bergelar anak angkat.

“Saya anak angkat, mak ambil saya sebab dia tak boleh mengandung dan lepas tujuh tahun dia bela saya dia mengandung.

“Sejak kecil saya dipukul, umur lima tahun saya dipukul guna dua penyangkut baju serentak sampai patah dan ketika umur tujuh tahun saya ditampar sehingga berdesing telinga saya,” luahnya menerusi kiriman mesej kepada pengacara tersebut.

Dia mendakwa, sering dipukul hanya kerana bertanyakan soalan atau tersalah melakukan sesuatu kerja.

Lebih menyedihkan, ibu angkatnya juga sering memaki hamun ataupun menghinanya dengan mengeluarkan kata-kata kasar serta menganggapnya sebagai bebanan dalam keluarga.

Tambahnya, dia juga dipaksa untuk membuat pinjaman bagi membeli sebuah rumah sebagai ganti rugi wanita itu telah menjaganya sejak kecil.

“Saya sering dipanggil dengan gelaran yang kasar, saya ini anak haram, dan mak selalu cakap saya ini menyusahkan dan minta saya mati.

“Dia paksa saya buat pinjaman untuk belikan dia sebuah rumah sebagai ganti rugi membela saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai bersimpati atas penderitaan yang dialami individu tersebut dan memberi kata-kata semangat untuknya terus bangkit.

“Luluh hati saya, rasanya awak dah dewasa sekarang, carilah kehidupan sendiri dan bina hidup awak sendiri, semoga segala urusan dunia dan akhirat awak dipermudahkan Allah. Soal buat pinjaman rumah, tolonglah jangan ikutkan, nanti jerat diri sendiri,” kata seorang pengguna.

“Dia bukan ambil awak sebagai anak angkat, tapi nak jadikan awak sebagai hambanya. Ibu angkat awak memang mental dan jika awak berada pada pihak yang benar, segera dapatkan bantuan,” ciap pengguna yang lain pula. – KOSMO! ONLINE

POPULAR