fbpx

Onn Hafiz bertanggungjawab dengan Bangsa Johor, mohon tunjuk ajar Hasni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Onn Hafiz menurunkan tanda tangan ke atas Watikah Pelantikan Menteri Besar ke-19 di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi komited untuk menggalas tanggungjawab dengan sepenuh hati dan dedikasi serta sedaya upaya demi kesejahteraan, kemakmuran negeri dan bangsa Johor.

Beliau turut memaklumkan akan sentiasa memohon khidmat nasihat daripada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang jauh lebih berpengalaman berbanding dirinya.

Katanya, semoga gabungan orang berpengalaman dengan tenaga dan idealisme orang muda akan dapat membangun serta memperkukuh negeri ini agar terus disegani dan melangkah lebih jauh lagi.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada mantan Menteri Besar Johor atas segala pengorbanan, komitmen, bantuan dan daya kepimpinan beliau bagi menstabilkan negeri Johor yang kita sayangi, dan juga kepada saya secara peribadi selama ini.

“Pengorbanan beliau memberi ruang kepada orang muda bagi memimpin Johor bukan sahaja menunjukkan betapa besarnya hati dan jiwa negarawan beliau, tetapi juga membuktikan beliau meyakini peranan dan kemampuan orang muda dalam mengemudi Negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Terdahulu, Onn Hafiz sah dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, sebentar tadi. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI