fbpx
SWEET bersyukur dapat menamatkan pengajiannya meskipun majlis konvokesyen sudah tertangguh selama dua tahun kerana pandemik.

Ijazah hadiah buat arwah kakak – Sweet Qismina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Demi menunaikan janji terhadap arwah kakaknya yang  telah meninggal dunia, pelakon Sweet Qismina sanggup berhempas-pulas menghabiskan pengajiannya dan menggenggam ijazah sarjana muda dalam jurusan Komunikasi Massa (Perhubungan Awam).

Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi, 25, menerima ijazah sarjana muda tersebut dalam majlis konvokesyen di Universiti dan Kolej SEGi yang berlangsung semalam.

“Buat arwah kakak Pearl (panggilan buat arwah kakaknya) sebab kakak, saya sanggup habiskan. Majlis konvokesyen ini adalah untuk kakak.

“Saya janji akan habiskan belajar untuk kakak sebab kakak tidak dapat pakai jubah konvokesyen. Jadi, saya lakukan semua ini istimewa untuk kakak. Kita akhirnya berjaya kakak,” tulisnya dalam satu entri Instagram.

Arwah kakaknya, Farhanna Qistina, meninggal dunia pada usia 21 tahun dalam kemalangan jalan raya pagi 1 Syawal pada 18 Jun 2015.

Dalam kejadian tersebut, kereta Proton Perdana yang dinaiki mereka sekeluarga telah dilanggar dari belakang oleh kereta jenis BMW.

Sementara itu, pelakon yang popular dengan drama Bidadari Salju itu turut dedikasikan ijazah berkenaan kepada ibunya, Misnah Atan, yang sentiasa berdepan dengan kritikan negatif orang sekeliling kerana membenarkan anaknya berlakon sejak kecil.

“Ini juga buat mama, sebab saya tidak suka mentaliti orang yang kata mak  hantar anak pergi berlakon tidak fikir masa depan dan pelajaran anak,” tulisnya lagi.

Dalam pada itu, dia turut berkongsi cabaran yang terpaksa dilaluinya untuk sampai ke tahap hari ini.

Bergelar pelakon sejak berusia tujuh tahun, dia mendedahkan terpaksa bergelut dengan pelajaran dan karier sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Saya telah bergelut antara kerja  dan pelajaran sejak sekolah rendah. Cuma orang sekeliling dan Allah tahu betapa penatnya fizikal dan mental Sweet hendak lalui fasa itu.

“Bila orang tanya bagaimana hendak kerja dan belajar sepenuh masa seperti Sweet? Jawapan saya, jika kamu kuat cubalah. Jika tidak kuat jangan teruskan. Kamu akan sakit,” kongsinya.

Sungguhpun sudah terbiasa bekerja sejak kecil, akui Sweet dia hampir berputus asa untuk meneruskan pengajiannya kerana penat.

Selain itu, pandemik Covid-19 juga merendahkan motivasinya apabila terpaksa menyiapkan tesis ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bayangkan buat tesis duduk di rumah, tidak boleh keluar, hilang motivasi nak habiskan belajar

“Saya hampir berputus asa sebab tidak larat. Tetapi saya mempunyai banyak motivasi untuk teruskan. Sebabnya ada keluarga dan orang sekeliling yang sentiasa menolong dan memahami bila penat. Rasa syukur,” ujarnya lagi.

Dia juga telah menanti selama dua tahun untuk menggengam ijazah sarjana muda berkenaan sementelah acara konvokesyen terpaksa ditangguhkan kerana pandemik.

“Saya telah lama menunggu untuk konvokesyen. Dua tahun menunggu kerana Covid-19. Walaupun sudah lama habis belajar, terima kasih sebab masih buat majlis konvokesyen. Jadi, selepas ini mungkin ijazah sarjana (Master),” luah Sweet. – KOSMO! ONLINE

POPULAR