KECENDERUNGAN terhadap seni sering bermula tanpa dirancang. Begitulah perjalanan Norakma Aini Ruslan, 38, anak kelahiran Perak yang menemui jalannya dalam seni clay atau tanah liat secara tidak sengaja sekitar enam tahun lalu.
Segalanya bermula apabila dia terlihat beberapa hasil kerja seni daripada tanah di platform Pinterest.
Daripada pemerhatian ringkas itu, tercetus satu idea untuk mencuba dan seterusnya mengembangkan seni tersebut sebagai satu bentuk karya peribadi.
“Sejak dari kecil saya memang cenderung kepada aktiviti seni. Sehubungan itu, ia memberi keyakinan kepada saya mencuba kesenian yang menggunakan tanah liat ini walaupun pada ketika itu masih asing.
“Namun, kekangan kewangan mendorong saya untuk mempelajari seni ini sendiri tanpa bimbingan guru atau pergi ke kelas secara formal. Saya mengambil inisiatif mencari maklumat melalui blog, YouTube dan Instagram,” katanya memulakan bicara.
Tambah Norakma Aini atau lebih dikenali sebagai Ain, proses pembelajaran mengambil masa beberapa bulan sebelum dia akhirnya berani membuka tempahan secara rasmi kepada pelanggan.
Bercerita mengenai tempahan pertama yang diterima oleh Ain, ia menjadi memori yang tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya.
Ungkap Ain, beberapa tahun lalu, seorang rakan kepada adiknya menempah karya tanah liat bersaiz 13 sentimeter kali lapan sentimeter dengan tema perkahwinan dan program Running Man.
“Saya sangat gembira dan teruja kerana ada yang sudi menempah hasil kerja saya walaupun pada masa itu masih banyak yang perlu diperbaiki terutamanya dari segi mutu kerja.

“Tempahan itu seterusnya menjadi suntikan semangat untuk terus belajar dan memperbaiki diri,” jelasnya.
Namun, perjalanan tersebut tidak sunyi daripada cabaran.
Antara kesukaran utama ialah mendapatkan stok tanah liat daripada pembekal yang terhad.
Apabila stok kehabisan, Ain terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bekalan baharu.
Harga polymer clay yang agak mahal, ditambah dengan masalah kewangan, memaksa dia lebih berjimat dan berhati-hati bagi mengelakkan pembaziran.
“Kekurangan pengetahuan dan ketiadaan guru fizikal turut menjadi cabaran besar. Saya mengumpul maklumat daripada pelbagai sumber dalam talian dan membaca hampir keseluruhan ruangan komen demi mendapatkan panduan yang berguna untuk meningkatkan kualiti karya,” kongsinya.
Dari segi proses, kebiasaannya Ain mengambil masa sekitar seminggu untuk menyiapkan satu karya.

Dalam satu-satu masa, dia akan menyiapkan tiga atau empat karya serentak dan membakarnya, sekali gus di dalam ketuhar bagi menjimatkan penggunaan elektrik.
Proses pembakaran pula dilakukan empat hingga lima kali kerana ketebalan karya menyukarkan tanah liat masak dengan sempurna dalam masa singkat.
Seiring peredaran masa, Ain mula memanfaatkan platform TikTok sekitar tahun 2023 sebagai platform pemasaran produknya, menerusi nama @FleuretteClay.
“Setiap bisnes memerlukan kita ikut peredaran semasa.
“Antara yang dikongsikan dalam platform media sosial adalah tip pembuatan clay, video proses kerja serta hasil siap,” jelasnya.
Ain mengakui dia memulakan bisnes ini dengan pengetahuan kosong, modal terhad dan hanya bersandarkan minat serta kesabaran.
“Minat dan sabar inilah yang mendorong saya menjadi saya hari ini. Ragu-ragu tak membawa perubahan.
“Jadi nasihat saya adalah bertindaklah dengan berani,” katanya menutup bicara.














