fbpx

Sukarelawan USIM selami kesusahan mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN sukarelawan pelajar USIM menyiapkan keperluan pembersihan dan barangan keperluan untuk dibawa ke Kemaman.

SEBAGAI tanda keprihatinan kepada mereka yang terjejas akibat banjir yang berlaku di Terengganu baru-baru ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menggerakkan kumpulan pertama sukarelawannya terdiri daripada kakitangan dan pelajar ke Kemaman, Terengganu menerusi Misi USIMPrihatin.

Menerusi misi yang dilakukan selama empat hari itu, ia melibatkan 47 sukarelawan terdiri daripada 39 pelajar dan lapan kakitangan universiti tersebut.
Pada 6 Disember tahun lalu, Terengganu dilanda banjir teruk yang mengakibatkan penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara.

Bagaimanapun, negeri itu sekali lagi dilanda banjir terburuk Februari lalu.

Namun kini, beberapa kawasan sudah pulih sepenuhnya dan penduduk sudah mula pulang ke kediaman masing-masing dan mereka sibuk membersihkan bahagian yang terjejas.
Bagi meringankan beban, kumpulan sukarelawan tersebut turut serta melibatkan diri bagi membantu penduduk terjejas dengan Misi USIMPrihatin pasca banjir.

Lokasi bantuan di Kemaman yang menjadi fokus pasukan sukarelawan berkenaan ialah Kampung Air Puteh, melibatkan sekolah dan masjid dengan menumpukan kepada operasi mencuci kediaman penduduk.

Selain itu, turut dilakukan agihan sumbangan barangan asas seperti makanan, barangan keperluan bayi, ubat-ubatan, tilam dan bantal.

Menurut salah seorang sukarelawan yang menyertai kumpulan tersebut, Umairatul Izzah Md. Ariff Maricar, 24, dia begitu teruja untuk turut serta dalam misi bantuan itu bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat musibah banjir.

SEBAHAGIAN sukarelawan USIM begitu bersemangat sebelum berlepas ke Kemaman untuk membantu penduduk yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Katanya, dia gembira kerana sambutan yang diterima daripada mahasiswa USIM dalam menjalankan misi kemanusiaan ini amat baik.

“MPP (Majlis Perwakilan Pelajar) bertanggung jawab menyelaras penglibatan pelajar. Kita hanya memerlukan sekitar 30 sukarelawan bagi misi ini, tetapi permohonan diterima mencecah 70 orang.

“Ini menunjukkan, siswa kita begitu prihatin dan bersedia untuk membantu masyarakat yang memerlukan dan terjejas dengan bencana alam ini.

“Di pihak MPP sendiri, seramai 10 orang turut serta,” katanya yang merupakan penuntut di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.

Tambah Exco Kesukarelawanan dan Kemanusiaan MPP USIM ini lagi, mahasiswa perlu sentiasa bersedia untuk menyantuni masyarakat dalam pelbagai cara.

Sebelum misi tersebut dilaksanakan, mereka pernah terlibat membantu misi mangsa banjir di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang pada akhir tahun lalu.

Pelepasan kumpulan pertama misi ke Terengganu ini disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff bertempat di Pusat Sukan universiti itu baru-baru ini.

Dalam ucapan ringkasnya, Dr. Adnan menekankan agar warga USIM sentiasa menjaga dan menonjolkan akhlak dan teladan yang baik sepanjang menjayakan misi berkenaan.

Selepas misi USIMPrihatin tersebut, kumpulan sukarelawan itu merancang untuk meneruskan misi bantuan seterusnya.

Mereka akan melihat lokasi-lokasi lain yang terpilih selepas membuat koordinasi dengan Kementerian Pengajian Tinggi an Majlis Sukarelawan Universiti Awam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI