fbpx

Kerajaan kaji penghasilan benih padi tahan banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Agensi Nuklear Malaysia kini sedang menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan varieti benih padi yang berdaya tahan tinggi jika ditenggelami air, khususnya apabila berlaku banjir.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi(MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, varieti benih padi yang ditambah baik itu akan diberi nama IS22 dan penyelidikannya dibuat dengan kerjasama pelbagai institusi pendidikan serta agensi dalam dan luar negara.

“Penyelidikan ini adalah dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pertanian Malaysia dan Universiti Teknologi Mara serta bantuan teknikal daripada Badan Tenaga Atom Antarabangsa dan Agensi Tenaga Atom Jepun di bawah platform Forum Nuclear Cooperation in Asia.

“Penyelidikan ini juga adalah bagi menyambut baik permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta agar MOSTI melalui Agensi Nuklear Malaysia menjalankan penyelidikan bagi penghasilan benih padi yang berdaya tahan tinggi jika ditenggelami air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Agensi Nuklear Malaysia sentiasa proaktif mencari pelbagai kaedah penambahbaikan menggunakan teknologi nuklear dan sentiasa bertindak berdasarkan isu perubahan cuaca global.

“Seorang pegawai penyelidik Agensi Nuklear Malaysia juga ketika ini sedang membuat kajian PhD untuk mendapatkan padi yang rintang kepada banjir (submerge) di mana padi IS21 dikahwinkan dengan kaedah kacukan balik bersama varieti tahan banjir dan matang awal.

“Pada masa sama, Agensi Nuklear Malaysia juga sedang menjalankan penyelidikan padi tahan kemarau yang juga dibuat tahun ini menggunakan padi tradisional wangi hitam diaruh mutasi menggunakan alur ion khidmat sinaran yang diperolehi daripada Quantum and Radiological
Science and Technology (QST),” jelas beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata, kajian tersebut mungkin mengambil masa beberapa tahun selain memerlukan dana penyelidikan sebelum satu varieti yang berpotensi dihasilkan untuk kegunaan petani dan pesawah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI