fbpx

2 pembantu APM didakwa terima rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nazrin (depan) dan Salina ketika tiba di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Dua pembantu pertahanan awam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM18,500 bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan projek di Akademi Latihan Pertahanan Awam Malaysia.

Bagaimanapun Mohd. Nazrin Mohd. Nasir, 38, dan Salina Kamarulzaman, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menerima wang tunai itu daripada seorang lelaki berusia 49 tahun sebagai dorongan membantu sebuah syarikat untuk mendapatkan projek membekal, menghantar dan memasang peralatan pejabat akademi tersebut di Kajang.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Putrajaya pada 12 tengah hari hingga 1 petang pada 11 Oktober 2021 mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh beserta syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Ketika prosiding, Mohd. Nazrin merayu jaminan dikurangkan atas alasan mempunyai komitmen kewangan yang tinggi iaitu membayar pinjaman rumah dan pelajaran manakala Salina memohon jaminan minimum kerana menghidap penyakit kronik serta menanggung ibu bapa yang uzur akibat strok.

Selepas mendengarkan permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Dalam pada itu, di Mahkamah Sesyen lain di hadapan Hakim Suzana Hussin, Mohd. Nazrin turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,000 daripada seorang lelaki berusia 43 tahun bagi tujuan sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lot parkir berhampiran sebuah restoran di Putrajaya pukul 9.30 malam hingga 10 malam pada 8 Oktober 2021. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI