fbpx
Gambar hiasan.

Suami minum air ketum macam air masak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Perkongsian seorang wanita mengenai ketagihan suaminya meminum air ketum mendapat perhatian di media sosial.

Kisah wanita itu yang dikongsi di laman Facebook Klangkampunghalamanku tanpa mendedahkan identiti sebenar pengirim turut menjadi tular sejak semalam.

Menurut wanita berkenaan, dia tahu bahawa suaminya itu memang meminum air ketum dari sebelum berkahwin lagi atas alasan untuk tenaga lelaki serta untuk bekerja.

Bagaimanapun, selepas mempunyai anak yang kini sudahpun berusia dua tahun, dia menyedari perubahan yang ketara pada suaminya.

“Dia semakin panas baran, stok ketum tak pernah putus dalam peti sejuk penuh air ketum. Badan dia semakin susut, dari saiz pinggang 40 jadi 36 boleh nampak tulang dah.

“Selera makan pun berkurang, dia asyik minum air ketum. Saya tengok dia minum kalah orang minum air masak kerana setiap jam hendak minum (air ketum),” katanya.

Wanita itu juga berkata, dia turut menyedari bahawa gaji suaminya itu sentiasa tidak mencukupi dan apa yang paling menyedihkan apabila dia ternampak mesej daripada kawan suaminya itu yang bertanyakan soal hutang.

“Saya sedih suami beli ketum sampai berhutang, hisap rokok pun makin kuat. Duit belanja dapur tidak bagi, sewa rumah pun saya yang bayar. Bila tanya mesti kena marah sampai dah nak naik tangan. Saya stress.

“Saya tak tahu lagi macam mana nak selesaikan masalah ini. Suami saya pun lebih setahun tak sentuh saya. Saya nak semua selesai cepat, anak saya semakin membesar dan saya tak nak emosinya terganggu,” ujarnya.

Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati, rata-rata pengguna media sosial bersimpati dengan nasib wanita itu dan menasihatkan agar dia mendapatkan nasihat daripada pihak yang lebih arif berkenaan masalah itu.- KOSMO! ONLINE

POPULAR