fbpx

Kenangan dihalau cetus aura juara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IDRIS (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada Mohamad Fadhil (dua dari kanan) dan pemenang lain pada program ADM di MMU, Cyberjaya kelmarin.

CYBERJAYA – Projek keusahawanan yang diinspirasikan daripada kenangan pahit ketika kecil apabila dihalau dari masjid kerana membuat bising mengangkat seorang graduan Universiti Al-Azhar, Mesir menjuarai Anugerah Perdana Akademi Daie Muda (ADM) kelmarin.

Idea Mohamad Fadhil Yahya, 28, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah memikat hati juri apabila menjadikan projek itu sebagai subjek untuk mengimarahkan masjid pada pertandingan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) 2021 di Universiti Multimedia (MMU) di sini.

“Saya teringat pengalaman 20 tahun lalu ketika zaman kanak-kanak pernah dihalau keluar dari sebuah masjid hanya kerana bermain sambil bising di belakang jemaah yang mahu solat.

“Kisah pahit itu menjadi ­inspirasi kepada saya untuk menjadikan institusi masjid sebagai premis yang mesra masyarakat dengan pelbagai aktiviti ekonomi kepada ummah pula,” katanya.

Beliau membawa pulang ha­diah wang tunai RM15,000, trofi, pakej umrah bernilai RM8,000, produk kesihatan, rehal diraja dan kepingan emas seberat lima gram.

Lelaki berasal dari Kedah itu turut memenangi kategori Anugerah Murabbi oleh pe­ngacara program realiti dakwah tersebut, Naufal Hatta dan Farrah Adeeba yang menawarkan hadiah wang tunai RM5,000, trofi, elaun RM10,000, rehal diraja dan kepingan emas seberat satu gram.

“Saya mahu lihat masjid berjaya tarik komuniti setempat untuk hadir bukan sekadar ibadah, malah jadi hab sosial yang turut jana ekonomi penduduk sepanjang masa,” katanya.

Pertandingan akhir itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Seramai 24 orang bersaing pada peringkat awal yang turut disiarkan setiap Sabtu sejak 22 Januari lalu menerusi TV AlHijrah. Pertandingan akhir disertai enam peserta terbaik.

Mereka turut menerima bim­bingan latihan daripada empat felo ADM iaitu Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah, Isfadiah Mohd. Dasuki, Shah Kirit Kakulal Go­vindji dan Firdaus Wong Wai Hung.

Bagi tugasan di lapangan, beliau memilih Masjid Al-Hidayah di Seksyen 18, Shah Alam, Selangor dan usahanya itu menerima pujian juri, Mohamad Wadi Anuar.

Lima peserta lain turut menang kategori masing-masing antaranya Muhammad Aiman Asyraf Aswari (Anugerah Imam Muda) dan Muhammad Ilman Hakim Zainal Abidin (Anugerah Aktivis).

Baki tiga peserta wanita pula ialah Nur Ayuni Mohd. Norudin (Anugerah Ikon Muslimah), Nur Izzati Elya Alfian (Anugerah Tekno) dan Irham Wazini Muhammad Zaki (Anugerah Karyawan).

Sebelum ini ADM dikenali sebagai Felo Muda Dakwah bagi menggali potensi bakat graduan.

Turut hadir ialah Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Suud, Yang Dipertua Yadim, Nasruddin Hasan dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI