fbpx

Tiada kebenaran anjur konsert di Bulatan Sultan Azlan Shah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar aksi sekumpulan individu yang menari dalam sebuah konsert yang diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah di Bandar Meru Raya, Ipoh semalam.- Foto MEDIA SOSIAL

IPOH – Tiada sebarang kebenaran diberikan kepada penganjur konsert yang diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah di Bandar Meru Raya sini semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan mendapati, penganjur program tersebut tidak memohon kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk menganjurkan konsert berkenaan.

Malah katanya, semakan video tular dalam media sosial itu juga mendapati, pihak penganjur dan pengunjung gagal mematuhi penjarakan fizikal dan sebahagian mereka dilihat tidak memakai pelitup muka.

“Pihak polis telah mengesan satu video tular yang menunjukkan orang awam berkumpul beramai-ramai menyertai konsert yang diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah semalam.

“Video berkenaan mendapat perhatian masyarakat selepas dimuat naik di media sosial dengan satu laporan polis diterima berhubung kejadian itu,” katanya dalam kenyatan di sini hari ini.

Menurut Mior Farid, pihaknya sedang mengesan pemilik akaun TikTok ‘acik_kesepian’ yang memuat naik video tersebut sebelum dikongsi akaun Facebook ‘Viral Perak’.

Katanya, beberapa individu lain yang terlibat dalam kes itu juga sedang dikesan bagi membantu siasatan.

“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 22(B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintenden Fadli Ahmad di talian 019-2500019,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi 27 saat itu memaparkan aksi sekumpulan individu berkumpul di kawasan Bulatan Sultan Azlan Shah di sini sambil menari mengikut lagu yang dipasang kuat.

Tindakan individu berkenaan mendapat kritikan warga maya yang rata-rata kesal dengan perbuatan mereka yang didakwa tidak mematuhi SOP ketika kes Covid-19 di Perak tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI