fbpx

Kenapalah tak percaya Allah Maha Baik – Elfira Loy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELFIRA LOY

PETALING JAYA – Impian Elfira Loy untuk menimang cahaya mata perempuan akhirnya termakbul selepas jantina bayi kedua yang sarat dikandungnya kini didedahkan dalam sebuah majlis ‘reveal gender’ baru-baru ini.

Dalam majlis yang dianjurkan rakan-rakan baik dan adiknya, Esliza Loy itu, Elfira menerima kejutan pendedahan jantina bayinya berupa belon dan kek berwarna merah jambu yang bermaksud perempuan.

Sebelum mengetahui jantina bayi keduanya, Elfira mengakui dia sangat berdebar andainya impian menimang cahaya mata perempuan masih tidak kesampaian.

Bagaimanapun, Elfira atau nama lengkapnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 28, mengakui, dia sepatutnya reda dan menerima apa sahaja ketentuan Tuhan untuk jantina anak keduanya kali ini.

“Saya gementar dan tak bersedia. Saya tahu kena terima sahaja sama ada lelaki atau perempuan. Tapi dalam hati, saya tak boleh tipu.

“Saya berdoa untuk dapatkan anak perempuan. Masya-Allah, Allah sangat baik. Allah izinkan. Syukur, syukur alhamdulillah,” ujarnya dalam hantaran Instagram.

Tambah Elfira, dia sememangnya sudah lama menginginkan anak perempuan sejak mengandungkan putera sulungnya, Muhammad Rayyan Khalaf tiga tahun lalu.

“Kalau orang tanya, memang saya jawab tak kisah mana-mana jantina. Tapi saya tak boleh sorok daripada kawan-kawan rapat. Mereka mesti tahu saya nak anak perempuan.

“Sejak Rayyan lagi, saya doa zuriat saya perempuan tapi tak tahu Allah nak bagi bila. Jadi, dua tahun saya doa nak dapatkan anak perempuan.

“Kalau boleh, saya tak nak tahu jantina apa sampai anak ini keluar,” tulisnya dalam satu hantaran InstaStory berbeza.

Kongsi pelakon itu, biarpun pada awalnya dalam dilema, namun nasihat dan kata-kata daripada rakannya yang juga selebriti Sarancak membuatkan dia akhirnya reda untuk menerima apa pun yang diberikan Tuhan.

“Dialah yang buatkan saya macam percaya dengan apa yang Allah nak bagi. Dia kata, saya baik dan Allah mesti bagi saya anak perempuan.

“Sebenarnya menangis juga waktu itu. Sebab kenapalah saya macam tak percaya bahawa Allah Maha Baik. Kalau saya doa nak itu, mesti Allah akan bagi jika itu yang terbaik,” luahnya.

Terdahulu pada Oktober tahun lalu, Elfira mendedahkan berita gembira apabila hamil anak kedua hasil perkongsian hidup dengan suaminya, Faris Khairul Anuar.

Bagaimanapun ketika itu, dia tidak berkongsi usia kandungannya kepada umum.

Elfira dan Faris mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2019 dan dikurniakan putera sulung, Rayyan pada Oktober 2019. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI