fbpx

Tiada yang ganjil berlaku di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SECARA asasnya, Malaysia memang sebuah negara yang cukup bertuah.

Terletak berhampiran garisan Khatulistiwa membuat iklim negara ini menerima suhu yang hampir seragam pada setiap tahun iaitu panas dan lembab.

Lebih tepat lagi, cuaca di Malaysia dibahagikan kepada dua yakni musim Monsun Barat Daya yang bermula pada akhir Mei hingga September dan Monsun Timur Laut yang biasanya berlaku pada November sehingga awal Mac setiap tahun.

Seperti yang semua sedia maklum, Monsun Timur Laut akan membawa hujan lebat dan berlaku di negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, sedangkan Monsun Barat Daya dikaitkan kepada cuaca yang lebih kering.

Jika ada perubahan cuaca sekalipun, ia lazimnya didorong oleh pengaruh laut dan perubahan sistem angin yang bertiup dari Lautan Hindi dan Laut China Selatan.

Rasanya, semua daripada kita faham akan fakta berkenaan. Malah, pengetahuan mengenai iklim Malaysia juga telah diajar sejak kita berada di sekolah menengah dalam mata pelajaran Geografi.

Dalam pada itu, ramai juga yang maklum akan kedudukan Malaysia yang berada di luar Lingkaran Api Pasifik, menyebabkan negara terlindung daripada ancaman gempa bumi dan gunung berapi.

Ia sama sekali berbeza dengan jiran, Indonesia. Sekalipun kita berkongsi iklim yang hampir sama dan makanan ruji iaitu nasi juga sama, namun negara republik itu menerima ancaman terbesar daripada kejadian gempa bumi dan letupan gunung berapi.

Mungkin kita patut bersyukur apabila Malaysia turut berada di luar kawasan angin taufan yang menyebabkan negara terhindar daripada bencana taufan puting beliung.

Cuma di sebalik segala fakta-fakta positif itu, banyak perkara yang perlu kita akui bahawa cuaca, perubahan iklim dan kejadian gempa bumi bukanlah perkara yang boleh diramal sepenuhnya oleh manusia.

Malaysia sendiri telah menjadi saksi kepada pelbagai kejadian dan bencana di luar jangka.

Siapa pernah menjangkakan gempa bumi dahsyat boleh berlaku di bumi Sabah pada pagi Jumaat, 5 Jun 2015 yang mengorbankan 18 nyawa warga tempatan dan pelancong asing.

Siapa juga pernah menjangkakan kawasan Shah Alam, Selangor yang dipenuhi dengan bangunan dan kilang-kilang industri boleh tenggelam hanya dalam sekelip mata.

Gegaran besar yang dirasai hampir di seluruh Lembah Klang pada 25 Februari lalu, kesan gempa bumi di Sumatera Barat, Indonesia juga memberi petanda Malaysia kini terdedah kepada musibah yang di luar jangka.

Persoalan kini, adakah kita perlu bimbang atau terus kekal tenang dengan bersandarkan kepada fakta bahawa negara kita masih selamat.

Ataupun, kita perlu menerima perubahan iklim ini sebagai sesuatu yang positif, seperti mana ghairahnya kita melihat ‘salji’ turun di Gunung Kinabalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI