KANGAR – Starbucks Malaysia menyasarkan untuk membuka 16 lagi cawangan sehingga Jun tahun ini dengan jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak RM16 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Food Berhad, Datuk Sydney Quays berkata, tumpuan syarikat adalah untuk memperluaskan rangkaian di bahagian Utara seperti di Kedah dan Perlis.
“Negeri-negeri di Utara sentiasa memberi respon yang baik kepada perniagaan kami dan pada masa depan kami akan terus mengembangkan lagi cawangan kami di sini.
“Selain itu, bandar kecil juga menjadi sasaran kami yang mana ia bukan sahaja di Perlis, malah di Alor Setar, Muar dan Batu Pahat. Kami yakin dengan penerimaan yang ditunjukkan di bandar kecil ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Starbucks Kangar Jaya Drive-Thru (pandu lalu) di Kangar Jaya di sini semalam.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan majlis tersebut dengan diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Quays yang juga Pengarah Urusan Starbucks Malaysia dan Brunei menjelaskan, syarikat kini memiliki 345 cawangan di seluruh negara.














