fbpx

Nasi lemak ikan salmon di Tunas Bistro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hafiz menunjukkan seleksi menu yang ada di kedainya

MENU masakan fusion iaitu menu yang menggabungkan elemen kulinari berbeza yang berasal dari negara-negara dan budaya berbeza mempunyai keunikannya yang tersendiri.

Gabungan beberapa rasa yang berbeza yang disatukan sebagai satu menu baharu dan menjadi merupakan eksperimen dalam mencipta kepelbagaian menu yang mempunyai kumpulan peminatnya tersendiri.

Antara menu fusion popular adalah masakan tempatan yang digabungkan dengan menu masakan dari Barat. 

Minat terhadap gabungan rasa itu menjadikan seorang pemilik sebuah restoran di Batu Maung, Pulau Pinang mengambil langkah berani dengan mempertaruhkan menu fusion sebagai menu utama di premisnya itu.

Restoran Tunas Bistro menyajikan menu enak dan unik yang terdiri daripada nasi lemak bersama lamb chop, nasi lemak bersama ikan salmon goreng dan nasi lemak ayam Parmigiana.

Menurut pemiliknya, Indera Hafiz, eksperimen beraninya itu ternyata menjadi apabila menu fusion itu mendapat tempat di hati pelanggan yang berkunjung ke situ.

“Pada awalnya, restoran ini menyajikan menu yang boleh didapati di restoran-restoran lain seperti masakan Barat, masakan Thailand dan masakan tempatan seperti nasi lemak ayam goreng.

“Namun, selepas cef masakan Thailand saya sudah tidak lagi bekerja bersama kami, maka menu yang ada di sini berkurangan. Daripada situlah saya mula mewujudkan menu fusion yang menggabungkan menu masakan Barat seperti chicken chop yang disajikan atau digabungkan sekali dengan menu tempatan seperti nasi lemak dan nasi goreng,” jelas Hafiz.

Akui Hafiz, ketika mula-mula mewujudkan menu yang berbeza itu, dia agak gusar memandangkan belum pernah mendengar menu fusion sedemikian dijual di mana-mana restoran lain.

Ketika itu, ia masih dianggap peli, malah ada pelanggan yang mentertawakan menu sajian itu.

Siapa sangka, taruhan rasa itu mula diterima baik dan sehingga kini, menu-menu tersebut adalah menu signatur di Tunas Bistro.

Rasa pedas dan manis daripada nasi lemak yang disajikan cukup sesuai dengan daging kambing daripada lamb chop, sekali gus menjadikan menu itu sebagai salah satu menu paling popular dan paling digemari di Tunas Bistro.

Malah, Hafiz berkata rasa kedua-dua gabungan itu cukup seimbang dan sesuai untuk dinikmati pada bila-bila masa, malah harganya juga berpatutan.

Pengunjung juga cukup menggemari gabungan rasa keju daripada menu chicken Parmigiana yang disajikan bersama nasi lemak atau nasi goreng.

Selain nasi lemak fusion, Tunas Bistro juga menyajikan menu seperti nasi ayam, nasi goreng ikan dan kentang, spageti Bolognese, bebola daging dengan sos istimewa dan juga burger.

Bagi menu minuman pula, Tunas Bistro juga cukup dikenali dengan menu minuman seperti Bandung Istimewa yang merupakan minuman paling digemari pengunjung.

Jelas anak jati Pulau Pinang itu lagi, tarikan restorannya itu juga bykan hanya terletak pada seleksi menunya namun ia juga merupakan ‘port’ melepak buat peminat-peminat pasukan bola sepak Manchester United (MU).

Selaku peminat pasukan bola sepak itu, Hafiz  meletakkan beberapa hiasan bertemakan MU bagi menarik pelanggan yang juga merupakan peminat kelab bola sepak itu untuk datang menjamu selera sambil menonton perlawanan bola sepak di Tunas Bistro.

“Sejak pembukaannya pada 2017, restoran ini sudah menjadi lokasi peminat MU berkumpul sambil menonton perlawanan bola sepak bersama rakan-rakan.

“Namun, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 pada 2020, aktiviti itu terpaksa dihentikan buat sementara waktu,” katanya.

Tunas Bistro dibuka setiap hari daripada pukul 11 pagi sehingga 12 tengah malam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI