fbpx

Lori telur terbalik, wanita cedera nahas tiga kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN lori muatan telur ayam yang terbalik setelah terlibat nahas tiga kenderaan di Kilometer 62, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di Tapah hari ini.

TAPAH – Sebuah lori yang sarat membawa muatan telur ayam terbalik dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 62, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu berlaku selepas lori dipandu lelaki berusia 36 tahun dilanggar dari arah bertentangan oleh sebuah kereta Perodua Myvi.

Katanya, kejadian itu menyebabkan kereta Proton Saga yang berada di belakang lori tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan berat tersebut.

“Nahas berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu wanita berusia 21 tahun yang datang dari arah bertentangan masuk laluan lori tersebut sebelum melanggarnya.

“Sebuah kereta Proton Saga yang tidak sempat mengelak kemudiannya telah terlanggar bahagian belakang lori tersebut. Pelanggaran itu menyebabkan pemandu Perodua Myvi berusia 21 tahun cedera di pinggang dan kepala,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemandu lori dan Proton Saga tidak cedera manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

“Kemalangan itu mengakibatkan ketiga-tiga kenderaan rosak teruk di beberapa bahagian terutama hadapan. Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI