fbpx

Gas Malaysia, Kulim perkukuh komitmen hijau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengarah Komersial Gas Malaysia, Shahir Shariff (dua dari kanan) bersama Timbalan Pengurus Besar Inovasi dan Kelestarian Kulim (Malaysia), Wan Adlin Wan Mahmood menunjukkan perjanjian yang ditandatangani di Johor Bahru semalam. Turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut ialah Mohd. Faris (kiri) dan Ahmad Hashimi (kanan).

PETALING JAYA – Anak syarikat milik penuh Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia), Gas Malaysia Virtual Pipeline Sdn. Bhd. (GMVP) menandatangani perjanjian pembelian gas bersama subsidiari Kulim (Malaysia) Berhad, Kulim Greenergy Sdn. Bhd. (Kulim Greenergy).

Menerusi perjanjian tersebut, GMVP akan mendapatkan biometana termampat hijau daripada dua kilang sawit Kulim (Malaysia) Berhad iaitu Tereh dan Sindora yang terletak di Kluang, Johor untuk disuntik masuk ke dalam rangkaian sistem agihan gas asli (NGDS) milik Gas Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia Berhad, Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Kulim Greenergy dalam usaha hijau tersebut.

Tambahnnya, Malaysia memiliki potensi menggalakkan dalam penggunaan tenaga boleh baharu dan lestari, dilengkapi dengan landskap tenaga hijau yang sedang pesat berkembang.

“Kami percaya masa depan terletak pada penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui dan mampan,” katanya dalam siaran akhbar yang dikeluarkan di sini semalam.

Dari perspektif Gas Malaysia, perkongsian itu sebahagian daripada strategi kepelbagaiannya untuk meneroka laluan lain dalam rantaian nilai gas untuk terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kulim (Malaysia) Berhad, Mohd. Faris Adli Shukery berkata, selari dengan aspirasi untuk menerapkan amalan mampan dalam aktiviti perniagaan, perkongsian itu merupakan usaha pihaknya untuk merealisasikan komitmennya dalam ekonomi kitaran.

“Kami menjangka usaha ini mampu menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan dengan mengubah kos pematuhan kami kepada aliran pendapatan baharu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI