fbpx

Rakyat Malaysia ditipu beli tiket VTL palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
S. Dayalan menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung penipuan penjualan tiket VTL palsu terhadap rakyat Malaysia di Singapura.

JOHOR BAHRU – Ratusan rakyat Malaysia yang berada di Singapura dan terdesak untuk pulang ke tanah air melalui inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat telah menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab yang menjual semula tiket VTL pada harga berlipat kali ganda.

Pengerusi Persatuan Pekerja Malaysia di Singapura Negeri Johor (Pemas), S. Dayalan berkata, pihaknya telah menerima aduan berhubung kejadian itu sejak lebih sebulan lalu.

Menurut beliau, harga tiket yang asalnya adalah S$15 (RM46.44) dijual kepada rakyat Malaysia yang terdesak itu dengan harga antara S$100 (RM309.60) hingga S$200 (RM619.20) sekeping.

“Saya telah terima ratusan aduan daripada rakyat Malaysia di Singapura, mereka ditipu pihak ketiga yang mendakwa boleh mendapatkan tiket VTL untuk pulang ke Malaysia pada tarikh yang diinginkan.

“Namun setelah membayar sejumlah wang yang diminta, mereka hanya mengetahui tiket berkenaan adalah palsu apabila pihak berkuasa Singapura memeriksa senarai nama pengembara yang dibenarkan pada hari terbabit.

“Perkara ini bukan perkara kecil kerana telah ramai rakyat Malaysia ditipu, lebih-lebih lagi mereka yang berasa terdesak untuk pulang atas pelbagai sebab seperti melawat saudara mara atau ibu bapa yang tidak sihat dan telah meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sejurus selepas membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, di sini hari ini.

Selain itu, pihaknya turut mempersoalkan mengapa jumlah pengembara yang pulang tidak memenuhi kuota ditetapkan iaitu sekitar 1,000 pengembara sehari sedangkan tiket dikatakan telah habis terjual.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI