fbpx

Putin siapkan senjata nuklear untuk hadapi Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PRESIDEN Rusia, Vladimir Putin melawat tapak pembinaan Pusat Angkasa Negara di Moscow semalam. - AFP

MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin telah mengerahkan pasukan khas tenteranya termasuk unit senjata nuklear untuk berada dalam keadaan waspada ‘peringkat tinggi’, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC). 

Putin memberitahu ketua-ketua pertahanan bahawa arahan itu berpunca daripada kenyataan agresif Barat ketika Rusia dikecam hebat berikutan pencerobohannya ke atas Ukraine.

Pengumuman itu tidak bermakna bahawa Rusia berhasrat menggunakan senjata pemusnah besar-besaran itu.

Amerika Syarikat (AS) segera mengecam keputusan Putin dan menggelarnya sebagai ‘peningkatan perang yang tidak boleh diterima’.

Minggu lalu, Putin telah memberi amaran bahawa sesiapa sahaja yang cuba menghalangnya di Ukraine akan menerima akibat yang tidak pernah dialami sebelum ini.

Kata-kata itu ditafsirkan secara meluas sebagai isyarat ancaman untuk menggunakan senjata nuklear jika Barat menghalangnya.

Amaran berkenaan menjadi lebih kuat semalam apabila Putin mengarahkan menteri pertahanan Rusia dan ketua kakitangan am tentera supaya rejim khas tugas tempur mempersiap senjata nuklear. 

Selepas pengumuman Putin, Kesatuan Eropah (EU) pula mengumumkan sekatan dan tindakan baharu terhadap Rusia yang belum pernah dilakukan sebelum ini 

Antaranya termasuk pembiayaan senjata kepada Ukraine, larangan menyeluruh pesawat Rusia menggunakan ruang udara EU dan menyekat saluran media kerajaan iaitu Sputnik dan Russia Today di wilayah EU. 

Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, perintah nuklear Putin menunjukkan bahawa beliau akan meningkatkan konflik di Ukraine dengan cara yang tidak boleh diterima.

White House bagaimanapun berkata bahawa Rusia tidak pernah diancam oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg pula menyifatkan kenyataan Putin sebagai ‘retorik berbahaya’. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI