fbpx

Inisiatif HOO buat pembangunan sukan badminton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZRI (duduk dua dari kiri) bergambar bersama barisan pemenang sewaktu upacara penyampaian hadiah kejohanan di Pusat Badminton Pro One semalam. - HOO

KUALA LUMPUR – Kejayaan Malaysia menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 minggu lalu secara tidak langsung telah berjaya menyemarakkan lagi kerancakan sukan badminton di peringkat komuniti.

Disebabkan itu, syarikat pembekal alat pernafasan, House of Oxygen (HOO) tampil dengan inisiatif menganjurkan Kejohanan Badminton 2022 melibatkan peringkat amatur dan semi-pro sebagai salah satu langkah pembangunan sukan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif HOO, Azri Hamzah menjelaskan, penganjuran itu dibuat bagi mewujudkan lebih banyak kejohanan di peringkat komuniti dengan harapan dapat mencungkil lebih ramai bakat baharu buat skuad kebangsaan.

“Malaysia adalah salah satu gergasi badminton dunia sejak zaman Datuk Misbun Sidek, anak-anak Sidek, Datuk Lee Chong Wei dan sekarang Lee Zii Jia.

“Jadi kami hadir sebagai satu komuniti kecil untuk menyokong sukan badminton supaya kita sentiasa ada pelapis-pelapis yang bagus buat pasukan kebangsaan.

“Kejohanan ini juga menarik minat mereka-mereka yang baru nak mula bermain badminton dan juga buat pemain-pemain yang sudah bersedia. Jadi ini adalah platform untuk mereka bertarung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada kejohanan yang berjaya menarik penyertaan 118 beregu dari seluruh Semenanjung Malaysia di Pusat Badminton Pro One, Puchong, Selangor semalam.

Juara kategori semi-pro dimenangi beregu Ng Eng Cheong-Saik Wei Han selepas menewaskan Aliff Hakimi-Helmi Zulhaidee di perlawanan akhir.

Gandingan Afiq Syazwan-Iszwan Azhar pula muncul sebagai pemenang kategori amatur selepas menewaskan Ong Hua Jin-Tan Kim Lim di pentas final.

Tambah Azri, beliau bercadang untuk menjadikan kejohanan itu sebagai acara tahunan berdasarkan sambutan hangat yang ditunjukkan sekali gus mencapai objektif penganjuran.

“Kami bercadang untuk mewujudkan lebih banyak lagi kejohanan di semua peringkat termasuk amatur, semi-pro, veteran, terbuka dan juga sekolah. Mungkin selepas ini kami akan anjurkan klinik badminton juga,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI