fbpx

Air mata iringi ‘showcase’ dua tahun Dolla

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA tahun debut, Dolla menjayakan persembahan sulung mereka di hadapan peminat pada malam Sabtu minggu lalu.

DOLLA. Sepotong perkataan yang kedengaran agak catchy dan mudah disebut oleh sesiapa sahaja.

Di sebalik nama yang dipilih dengan harapan membawa tuah buat empat wanita sebagai anggota kumpulan, selangkah demi selangkah Dolla mula mengejutkan dunia hiburan tanah air dengan pembawaan unik diri mereka.

Berkonsepkan ala-ala kumpulan K-pop buatan Malaysia, Dolla pada awalnya menjadi bahan hinaan dan tidak lari daripada dicerca mulut-mulut jahat yang menyifatkan mereka seperti tiada arah dan signatur tersendiri.

Enggan mengambil pusing apatah lagi terlalu serius dengan kata-kata nista tersebut, keempat-empat anggota Dolla tekad membuktikan bakat mereka, sekali gus membuka mata-mata yang memerhati.

ENERGETIK. Sepanjang dua jam persembahan, Dolla tampil bertenaga menyampaikan lima buah lagu hit mereka yang diiringi koreografi rancak.

Bukan senang apatah lagi mengecapi jalan mudah untuk berada di kedudukan sekarang, kemunculan Dolla ketika negara sedang berperang dengan pandemik Covid-19 tidak semudah yang disangka.

Mempertaruhkan lagu berjudul Dolla Make You Wanna sebagai single sulung, percubaan mereka tepat mengenai sasaran apabila karya tersebut menjadi fenomena dan hit dalam kalangan peminat muzik lokal.

Buktinya, video muzik lagu tersebut yang diluncurkan secara rasmi setahun lalu mendapat lebih 4.6 juta tontonan dan reaksi positif.

Bermula dari saat itu, keempat-empat anggota yang ditunjangi Tabby, Syasya, Sabronzo dan Angel terus berani melangkah ke depan tanpa sedikit pun menoleh ke belakang.

Terharu, air mata

Dua tahun merangkak membina tapak dalam arena seni, nama Dolla masih lagi dilihat mendominasi dan disebut-sebut sebagai artis yang bakal bersinar dan mekar di persada seni.

Lama merancang untuk mengadakan showcase perdana sebagai hadiah dan tanda penghargaan buat peminat, akhirnya impian tersebut termakbul pada malam Sabtu lalu.

Entah kenapa dan bukan sengaja dibuat-buat, titisan air mata jernih keempat-empat penyanyi itu tumpah sejurus mendendangkan lagu terakhir iaitu single terbaharu mereka berjudul Berani.

DOLLA menyifatkan showcase baru-baru ini sebagai satu kejayaan dan batu loncatan buat mereka berempat untuk beraksi di pentas berskala besar kelak. Foto – UNIVERSAL MUSIC MALAYSIA

Bersaksikan ratusan peminat fanatik, ahli keluarga dan rakan media, mereka menyifatkan sokongan tanpa berbelah bahagi sebagai momen terindah seraya menyentuh perasaan.

Mewakili teman-temannya, Syasya mengaku perasaan mereka cukup tersentuh kerana momen tersebut (showcase) adalah saat yang paling dinantikan selepas penubuhan Dolla dua tahun lalu.

“Dolla muncul ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu.

“Sebaik sahaja melihat ratu dan iDolla (kumpulan peminat) di depan mata, kami tersentuh kerana inilah momen paling ditunggu-tunggu.

“Peminat adalah kunci kejayaan kami selama ini. Kalau diikutkan, kami tidak mahu menangis kerana jurusolek awal-awal lagi sudah pesan nanti mekap rosak.

“Tetapi nak buat macam mana. Perasaan kami sangat sensitif terutama membabitkan peminat yang hadir memberikan sokongan,” katanya.

Ujarnya lagi, tiket yang laris dijual tidak sampai lima minit selepas showcase diumumkan hujung bulan lalu juga menjadi salah satu kejayaan dan kejutan buat mereka apatah lagi dapat bersua muka bersama peminat.

DOLLA sebelum ini pernah meraih perhatian di peringkat antarabangsa apabila terpilih sebagai artis wanita berkumpulan pertama negara yang ditampilkan di papan iklan digital di New York Times Square, Amerika Syarikat.

Tambah Syasya atau nama sebenarnya Noorsyasya Afiqah Shahrizal, kehadiran ahli keluarga yang datang memberikan sokongan turut membuatkan mereka terharu dan tidak sengaja mengalirkan air mata.

“Tidak hanya peminat, kehadiran keluarga kami berempat membuatkan jiwa dan perasaan kami tersentuh.

“Merekalah yang selama ini memberi motivasi dan perangsang buat kami untuk terus melangkah jauh dalam dunia seni,” katanya.

Tambah wanita cantik berusia 21 tahun itu, mereka meluangkan masa sekitar lapan jam sehari berlatih selama sebulan sebelum showcase berlangsung.

Idam pentas besar

Menyifatkan showcase tersebut sebagai kejayaan di sebalik ujian mendatang, pemenang kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-34 itu sudah bersedia untuk membuat persembahan berskala besar kelak.

SHOWCase yang berlangsung malam Sabtu lalu adalah momen yang paling dinanti-nantikan Dolla selepas penubuhan mereka dua tahun lalu.

“Apabila mendapat tahu ramai peminat tidak dapat serta untuk bersama-sama kerana lokasi yang agak kecil dan terhad, timbul keinginan untuk kami mengadakan persembahan di lokasi yang lebih besar pula selepas ini.

“Kami harap hasrat itu dapat ditunaikan secepat mungkin.

“Semoga keadaan semasa pandemik akan segera berakhir,” kata Tabby sekali gus menjadi penguat semangat untuk mereka terus berkarya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI