fbpx

Rokok, arak tidak bercukai bernilai RM152,000 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian rokok dan minuman keras tidak bercukai yang dirampas di Balik Pulau semalam.

BALIK PULAU – Taktik seorang peniaga menggunakan sebuah stor dan semak di belakang rumah di Pantai Acheh di sini untuk menyimpan rokok dan arak tidak bercukai gagal apabila berjaya dikesan Unit Risikan Marin Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, menerusi Ops Kontraban itu, pihaknya menemui 531 karton rokok dan 688 liter arak dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM152,717.

Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun disyaki pembekal rokok dan arak tidak bercukai kepada kedai-kedai runcit berhampiran turut ditahan kira-kira pukul 6 petang.

“Ketika serbuan dijalankan suspek yang bergerak bersendirian dalam menjalankan kegiatan ini berada di rumah berkenaan dan sedang memasak.

“Setelah diperiksa, pasukan kami menemui arak dan rokok yang disembunyikan di dua lokasi iaitu di dalam stor serta di dalam semak di belakang rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua rokok dan arak yang disembunyikan itu hanya ditutup dengan menggunakan kanvas bagi mengelak daripada dilihat orang ramai.

“Ketika serbuan, tiada pergelutan berlaku antara polis dan suspek, siasatan lanjut mendapati bekalan yang dirampas dipercayai untuk pasaran ke kedai-kedai runcit berdekatan kawasan berkenaan.

“Suspek juga tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencingnya negatif dadah,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI