fbpx
Pesakit kanser sering dijadikan sasaran peniaga dalam mendapatkan pelanggan ubat-ubatan mereka. - Gambar hiasan

Pesakit kanser jadi lubuk duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Segelintir peniaga ubat tambahan menjadi tamak apabila semakin ligat menjadikan pesakit kanser sebagai lubuk mengaut untung menerusi promosi dan taktik kononnya barang yang dijual mampu menyembuhkan penyakit berbahaya itu.

Antara produk yang berlambak dijual secara online ketika ini termasuk dalam bentuk jus atau serbuk minuman, tablet ekstrak buah-buahan dan minyak yang kononnya menjadi penawar kanser hingga mengakibatkan pesakit yang terdesak untuk sembuh mengeluarkan ribuan ringgit untuk membelinya.

Lebih licik apabila mereka menyertakan testimoni individu yang didakwa telah sembuh daripada kanser hasil mengambil produk kesihatan itu.

Bertambah parah apabila terdapat segelintir pesakit yang terdedah kepada penipuan membabitkan rawatan oleh pengamal perubatan alternatif dan bomoh temberang.

Kesannya, penggunaan produk tanpa nasihat doktor dikhuatiri menyebabkan pe­nyakit menjadi semakin parah dan ada kes di mana pesakit lambat didiagnos kerana terlalu mempercayai rawatan karut bomoh.

Berdasarkan maklumat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 63.7 peratus daripada keseluruhan kes kanser di negara ini dikesan lewat iaitu tahap tiga dan empat.

ZURAINI

Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal mendedahkan, kebanyakan pesakit kanser mengaku mengambil produk kesihatan kerana terpedaya dengan jaminan diberikan selain mendapatkan rawatan bomoh.

“Mereka ini sebenarnya mendapat nasihat salah daripada orang yang salah sehingga mempercayai bomoh. Ada pesakit wanita percaya rahim mereka telah dimakan jin atau terkena santau dan lama-kelamaan, pe­nyakit sudah merebak.

“Selain bomoh, pesakit juga menjadi sasaran mudah kepada peniaga produk kesihatan yang tidak bertanggungjawab dan menjadikan mereka sebagai lubuk duit,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut bekas pesakit kanser dinding rahim itu, peniaga terbabit menjual produk kesihatan dengan menunjukkan testimoni kononnya ia mampu merawat dan menyembuhkan kanser.
Tambah Zuraini, pesakit yang terdesak untuk sembuh terus membeli produk tersebut tanpa mendapatkan nasihat doktor hingga mengakibatkan sel kanser berisiko untuk terus merebak.

“Ada pesakit yang mengelak melakukan rawatan seperti kimoterapi dan hanya bergantung kepada ubat tambahan yang dibeli daripada daripada peniaga tidak bertanggungjawab,” kata­nya.

Ujar Zuraini, pengambilan ubat tanpa nasihat doktor bukah sahaja akan mengakibatkan kanser semakin parah, malah merosakkan hati dan buah pinggang kerana pemakanan secara tidak terkawal.

“Peniaga produk ini semakin ligat mengumpan mangsa dan saya pernah terima maklumat ada pesakit nyaris membayar berbelas ribu ringgit untuk membuat imbasan di sebuah pusat perubatan alternatif,” katanya.

Zuraini menyampaikan maklumat tentang kanser pada program Hari Kanser Sedunia 2022 di Sungai Petani baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau berharap KKM mengambil tindakan tegas ke atas peniaga produk ke­sihatan yang membuat promosi melampau atau berlebihan ko­nonnya produk mereka menjadi penawar kanser atau penyakit kronik lain.

Tambahnya, CSM sebagai kumpulan sokongan alam maya sentiasa berkongsi maklumat tentang kanser dan memberi khidmat nasihat termasuk berkaitan cubaan penipuan yang perlu dielakkan pesakit dari semasa ke semasa.

“Kita perlu mendidik pesakit kanser yang mana kita tahu pe­nyakit kronik tersebut dikaitkan dengan kematian dan mereka sanggup buat apa sahaja untuk sembuh,” katanya sambil memberitahu kanser sebenarnya boleh dirawat melalui rawatan moden.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN