fbpx

Pemansuhan kuarantin kontak rapat tidak bergejala diteliti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

HULU TERENGGANU – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti cadangan berhubung pemansuhan kuarantin atau prosedur pengasingan bagi orang awam yang menjadi kontak rapat kes positif Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, cadangan berkenaan hanya membabitkan individu awam yang disahkan negatif Covid-19, lengkap vaksinasi , tiada bergejala dan tidak mempunyai komorbid.

“Setakat ini, prosedur pengasingan tersebut hanya dilaksanakan kepada petugas kesihatan. Mereka yang menjadi kontak rapat tetapi tidak bergejala, tiada komorbid dibenarkan bekerja tanpa perlu menjalani kuarantin.

“Bagi masyarakat umum masih tiada keputusan (pemansuhan kuarantin). Kita masih meneliti cadangan, keputusannya akan dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin nanti,” katanya ketika meninjau Pusat Pemberian Vaksin Kanak-kanak (PICKids) di Sekolah Kebangsaan Seri Buluh, di sini hari ini.

Noor Azmi menegaskan sebarang keputusan tentang polisi dan perubahan prosedur dilaksanakan KKM kelak adalah hasil perbincangan dengan pakar-pakar berlandaskan fakta dan sains.

Tambah beliau, sekiranya pemantuhan kuarantin dilaksanakan, orang awam yang menjadi kontak rapat kes positif Covid-19 tidak perlu lagi menjalani kuarantin lima hari bagi penerima dos penggalak manakala tujuh hari bagi belum lengkap vaksin.

Katanya lagi, individu yang disahkan kontak rapat sama ada punyai gejala atau tidak masih perlu jalani ujian saringan menggunakan kit ujian pantas (RTK) Antigen bagi tempoh tertentu bagi memastikan mereka benar-benar tidak dijangkiti virus Covid-19. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI