fbpx

Kelantan, Terengganu, Sabah paling rendah PICKids

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Azmi (dua dari kanan) berbual mesra dengan sebahagian kanak-kanak yang menerima vaksin Covid-19 di PICKids SK Seri Buluh, Hulu Terengganu hari ini.

HULU TERENGGANU – Tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Sabah merekodkan kadar penerimaan vaksin Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) terendah di negeri ini.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, ketiga-tiga negeri itu mencatatkan kadar vaksinasi bawah 10 peratus dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

“Kelantan mencatatkan peratusan paling rendah iaitu 6.1 peratus diikuti Terengganu (7.5 peratus) dan Sabah (8.9 peratus).

“Berdasarkan maklum balas jabatan kesihatan negeri terlibat, ia berpunca daripada sikap ibu bapa yang terlalu bimbang keselamatan anak masing-masing apabila divaksin menyebabkan mereka masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas memantau perjalanan PICKids di Sekolah Kebangsaan Seri Buluh di sini semalam.

Noor Azmi berkata, secara keseluruhannya PICKids telah mencapai kadar 18.6 peratus di seluruh negara.

Jelasnya, Sarawak mendahului kadar penerimaan tertinggi dengan 34.7 peratus, diikuti Melaka (31.6 peratus), Pulau Pinang (25.7 peratus), Perak (24.4 peratus) dan Lembah Klang, 21.7 peratus.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil pendekatan memperluaskan pasukan outreach yang akan bergerak dari sekolah ke sekolah bagi meningkatkan lagi pemberian suntikan vaksin terhadap kanak-kanak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI