fbpx

Gandingan sulung cemerlang Kim Tae-ri, Nam Joo-hyuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DRAMA bersiri Twenty Five Twenty One menyaksikan gandingan sulung Kim Tae-ri dan Nam Joo-hyuk dalam lapangan lakonan.

LEBIH tiga tahun aktres Kim Tae-ri tidak muncul dalam sebarang naskhah televisyen.

Kali terakhir drama lakonannya adalah menerusi drama Mr. Sunshine pada 2018.

Justeru, apabila Tae-ri memilih karya Twenty Five Twenty One untuk kemunculan semulanya dalam drama bersiri, pasti ada tarikan luar biasa yang mendorong persetujuan dan kesediaannya terlibat dalam naskhah arahan Jung Ji-hyun itu.

Aktres berusia 32 tahun itu mengakui jatuh cinta terhadap drama berkenaan saat pertama kali membaca skripnya yang disifatkan cukup luar biasa.

Tidak hanya menghiburkan, watak gadis bernama Na Hee-do lakonannya sangat berbeza dan tidak pernah dijayakan dalam mana-mana naskhah sebelum ini.

Skrip, jalan cerita

“Saya memilih untuk terlibat kerana menerusi skripnya sahaja tahu drama ini pasti menghiburkan.

“Ceritanya sangat indah dan menarik serta pasti akan membuat penonton terkenang zaman persekolahan mereka.

“Malah, ini kali pertama saya membawakan watak energetik seperti Na Hee-do.

DEMI merealisasikan watak seorang seorang pelajar sekolah dan atlet lawan pedang, Kim Tae-ri mengambil masa enam bulan membuat persediaan berlatih dengan atlet pemenang pingat emas sukan tersebut sebelum penggambaran bermula. Foto – NETFLIX KOREA

“Selain itu, mungkin kerana saya pernah bekerja dengan pengarahnya dalam drama Mr. Sunshine sebelum ini dan mempunyai banyak memori manis.

“Jadi, saya tahu kami boleh bekerjasama dan berkomunikasi dengan baik.

“Sebagai pengarah, dia seorang yang sangat jujur dalam berkarya dan membentuk pelakon untuk setiap watak,” ujar Tae-ri pada sidang media secara virtual baru-baru ini.

Akui Tae-ri, bukan mudah melakonkan watak gadis berusia 18 tahun, ditambah dengan latar tahun 1998 yang memberi cabaran besar buat seluruh produksi.

Selain terpaksa menyiapkan set penggambaran kelihatan seperti tahun 1998, pihak produksi juga harus meneliti butiran-butiran lain.

Antaranya seperti gaya, fesyen dan trend yang popular ketika itu.

“Semasa tahun 1998 saya masih kecil, oleh itu saya perlu buat kajian tentang gaya dan fesyen remaja tahun berkenaan menerusi majalah lama dan video-video.

“Saya terpaksa mengubah gaya rambut dan menjaga kulit dengan teliti supaya kelihatan seperti gadis 18 tahun,” ujarnya.

Cabaran

Demi menghidupkan watak Na Hee-do, seorang pelajar sekolah yang juga atlet lawan pedang, Tae-ri terpaksa melakukan persediaan rapi.

Dia sanggup mengikuti kelas sukan itu enam bulan sebelum penggambaran.

MENGAKUI jatuh cinta dengan sukan lawan pedang, Tae-ri sehingga kini masih meneruskan rutin hadir ke kelas latihan sukan tersebut biarpun penggambaran drama sudah tamat.

Demi meningkatkan stamina serta kekuatan otot kakinya supaya kelihatan seperti atlet lawan pedang, Tae-ri sanggup berlatih dan mengikat beg pasir pada kakinya.

“Saya mengambil masa enam bulan untuk melakukan persediaan dengan mengikuti kelas lawan pedang bersama pemenang pingat emas acara tersebut.

“Pernah saya ke rumah Bona (pelakon watak Ko Yu-rim) dalam keadaan beg pasir masih terikat pada buku lali untuk tujuan kuatkan stamina dan otot kaki.

“Bona sangat terkejut kerana tidak sangka saya bekerja keras walaupun pada hari cuti daripada penggambaran.

“Walaupun saya berusaha dan berlatih lebih lama daripada Bona, setiap kali lawan pedang dengannya saya pasti kalah,” ujar Tae-ri sambil ketawa.

Disebabkan sudah terbiasa dengan rutin latihan sukan lawan pedang sepanjang penggambaran, Tae-ri telah jatuh cinta dengan sukan berkenaan.

DRAMA Twenty Five Twenty One menyaksikan gandingan Kim Tae-ri dan Nam Joo-hyuk selaku bintang utama. Pun begitu ironinya, mereka pernah bekerjasama dalam dua buah iklan sebelum ini.

Dia pada akhirnya tetap meneruskan latihan meskipun penggambaran telah selesai.

“Tidak sangka sukan lawan pedang sangat menyeronokkan walaupun latihannya agak berat.

“Selepas selesai penggambaran, saya dan Bona tetap meneruskan latihan kami seperti biasa.

“Sukar untuk saya meninggalkan sukan lawan pedang kerana sudah menjadi rutin menjalani latihan setiap hari sebelum penggambaran dan ketika hari cuti.

“Rasa janggal jika tidak berlatih dan mengikuti kelas lagi,” tutur Tae-ri.

Berbicara tentang keserasian buat pertama kali bergandingan bersama Tae-ri, aktor Nam Joo-hyuk menyifatkan, ikatan ‘kimia’ antara mereka tidak dibuat-buat.

AKTOR kacak ini menyifatkan gandingannya bersama Tae-ri mudah dibentuk sepanjang bekerja bersama.

Apatah lagi, mereka sememangnya bersahabat baik.

“Sepanjang berlakon, saya tidak pernah melihat keserasian begitu erat antara pelakon seperti mana saya dan Tae-ri.

“Saya sangkakan kami bertemu buat pertama kali kerana drama ini.

“Rupa-rupanya kami pernah bergandingan dalam dua buah iklan dan langsung tidak mengingatinya.

Tidak perlu masa yang lama, kami terus menjadi sahabat baik di luar set drama dan keserasian itu jelas kelihatan di skrin,” kongsi Joo-hyuk yang juga merupakan seorang model.

Nostalgia

Disoal tentang persediaannya membawa watak seorang wartawan bernama Baek Yo-jin, Joo-hyuk membuat rujukan dengan beberapa rakan wartawan supaya lakonannya sampai kepada penonton.

Namun, selepas melihat kembali lakonannya, Joo-hyuk menjelaskan, masih terdapat banyak ruang yang boleh diperbaiki agar wataknya kelihatan sempurna.

DALAM Twenty Five Twenty One, Joo-hyuk memegang watak sebagai seorang wartawan.

“Banyak yang saya belajar apabila membuat rujukan dengan wartawan sebenar. Antaranya perlu menjadi
pendengar yang baik, selain pen dan buku nota sentiasa dibawa ke mana-mana.

“Saya juga belajar bagaimana untuk mencari berita terkini dan ketika babak membuat laporan, saya perlu memeriksa semula sama ada sebutan dan intonasi penyampaian berita itu tepat.

“Hal ini kerana, saya mahu penonton percaya bahawa saya adalah seorang wartawan.

“Saya telah cuba yang terbaik dan memberi fokus terhadap watak yang diberikan,” ujar Joo-hyuk.

Dalam pada itu pengarahnya, Jung Ji-hyun menjelaskan, barisan penulis skrip mempunyai alasan tersendiri memilih tahun 1998 sebagai latar utama drama Twenty Five Twenty One.

Krisis

Selain penuh nostalgia, tahun 1998 merupakan waktu yang paling sukar buat Korea Selatan yang ketika itu dilanda krisis ekonomi.

“Saya dan pasukan penulis skrip memilih tahun 1998 atau penghujung 1990-an sebagai latar drama ini kerana zaman itu berlaku banyak perubahan dalam semua perkara seperti ekonomi, fesyen, teknologi dan trend.

“Masih saya ingat, pada 1998 saya berada di sekolah tinggi dan seperti mana berat cabaran yang perlu dilalui oleh watak-watak dalam drama ini, begitulah saya dan rakan-rakan sekolah hadapi.

“Agak mengundang emosi dan nostalgia buat saya sendiri.

“Cuma saya berharap drama ini dapat memberi mesej positif buat anak muda masa kini yang terpaksa berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19,” ujarnya.

JOO-Hyuk kembali mencuri perhatian peminat dengan naskhah terkini lakonannya.

Drama Twenty Five Twenty One mengisahkan tentang seorang gadis bernama Na Hee-do.

Dia terpaksa melepaskan impiannya menjadi seorang atlet apabila pasukan sukan lawan pedang sekolahnya terpaksa dibubarkan ekoran krisis ekonomi Korea Selatan pada 1998.

Naskhah sebanyak 16 episod yang turut dilakonkan oleh Bona, Choi Hyun-wook dan Lee Joo-myoung itu telah memulakan tayangannya di laman pentsriman Netflix pada 12 Februari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI