fbpx

Wanita Jepun tewaskan lelaki, lebih ramai masuk sekolah perubatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA doktor wanita Jepun dilihat memeriksa seorang pesakit. - AFP

TOKYO – Kadar penerimaan wanita di sekolah-sekolah perubatan Jepun dilaporkan buat pertama kali melebihi kadar penerimaan lelaki, lapor laman berita Wion News semalam.

Menurut data yang dikeluarkan oleh kementerian pendidikan Jepun, 13.6 peratus calon wanita lulus peperiksaan di 81 sekolah perubatan pada musim bunga tahun lalu. Sebagai perbandingan, 13.51 peratus lelaki lulus peperiksaan yang sama.

“Sudah jelas bahawa kadar penerimaan tidak akan rendah hanya kerana yang memohon adalah wanita,’’ kata seorang pegawai kementerian pendidikan Jepun kepada agensi berita Kyodo.

Perkembangan itu berlaku selepas skandal penipuan markah berhubung prosedur kemasukan ke Universiti Perubatan Tokyo. Universiti berkenaan secara sistematik mengurangkan markah peperiksaan kemasukan pemohon wanita selama bertahun-tahun dengan matlamat untuk meningkatkan bilangan doktor lelaki.

Bermula pada 2011, universiti berkenaan mula memotong markah pemohon wanita untuk mengekalkan bilangan pelajar wanita pada 30 peratus yang sebelumnya melonjak pada 2010.

Perubahan markah peperiksaan berkenaan dikesan dalam penyiasatan dalaman terhadap satu dakwaan rasuah.

Akhbar harian Yomiuri Shimbun memetik sumber universiti berkenaan berkata, tindakan itu didorong oleh pemikiran di sekolah bahawa ramai wanita bidang perubatan berhenti belajar selepas menamatkan pengajian untuk berkahwin dan mempunyai anak.   

Jurucakap Universiti Perubatan Tokyo, Fumio Azuma berkata, siasatan dalaman telah dimulakan selepas dakwaan timbul pada musim bunga lalu melibatkan rasuah untuk kemasukan ke sekolah perubatan oleh anak kepada seorang pegawai kanan kementerian pendidikan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI