fbpx

Tak tahu boleh jadi sekuat ayah atau tidak – Dafi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN dikecam orang ramai yang tidak berpuas hati dengan prestasi kerja bapanya sebagai Perdana Menteri, namun Dafi mengambil pendekatan tidak mudah melenting.

PETALING JAYA – Penyanyi Dafi berasa kagum dengan semangat bekerja bapanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sudah lima bulan bergelar Perdana Menteri Malaysia.

Dafi atau nama sebenarnya, Gadaffi Ismail Sabri, 34, berkata, sebagai anak kepada individu yang memegang jawatan nombor satu negara, kesabaran adalah kunci utamanya menjalani kehidupan.

Menurut pelantun lagu Bila Terasa Rindu itu, meskipun selalu menjadi mangsa kecaman masyarakat yang tidak berpuas hati dengan prestasi kerja bapanya, Dafi mengambil pendekatan untuk tidak mudah melenting.

“Ada (kecaman) dan kerap jugalah dapat. Tapi saya mengambil pendekatan bahawa kita tak duduk di tempat orang. Saya juga tak tahu apa yang mereka (orang ramai) lalui.

“Pun begitu, kalau boleh, saya berharap mereka menggunakan cara yang lebih baik daripada menghentam dan mengecam.

“Tapi, kalau saya berada di tempat mereka, saya sendiri tak tahu macam mana kelakuan saya. Jadi, sungguhpun selalu jadi mangsa kecaman, saya tak boleh nak menghakimi kelakuan orang bagaimana,” katanya kepada Kosmo! Online.

Luahan

Tambah Dafi lagi, politik bukan bidang kerjanya namun sekiranya ada luahan rasa tidak puas hati daripada masyarakat yang memerlukan perhatian ‘segera’, dia akan menyalurkan luahan yang diterima secara peribadi kepada bapanya.

“Macam waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu, ayah ‘handle’ sidang akhbar tiap-tiap hari.

“Jadi, kalau ada luahan rasa hati yang saya rasa perlu untik disalurkan, saya dan adik-beradik lain akan hantar tangkap layar kepada ayah.

“Kebiasaannya, kami akan kongsi dalam grup WhatsApp keluarga supaya semua orang ada ‘input’ masing-masing.

“Cuma, saya rasa politik bukan bidang saya. Bukan profesi saya jadi saya tak berapa nak pakar dan saya mengambil pendekatan untuk tak cakap sangat tentang hal tersebut (politik),” ujarnya.

Jelas Dafi lagi, walau selalu menjadi mangsa kecaman, jauh di sudut hati, bapanya sentiasa mencuba yang terbaik untuk memuaskan hati seramai orang yang boleh.

“Saya tengok ayah sibuk setiap hari. Saya cakap pada diri sendiri ‘sebab itulah saya tak sertai politik’.

“Saya tak tahu sama ada boleh jadi sekuat beliau atau tidak.

“Pada usia ayah sekarang, nak hadap kerja sesibuk itu dan percubaan untuk memuaskan hati seramai orang yang boleh.

“Secara peribadi, sebagai anak saya berasa sangat kagum sebab saya sendiri tengok depan mata,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan sejak Ogos tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI