ALOR GAJAH – ‘Kami hanya mampu berpelukan sesama keluarga melihat bumbung rumah tercabut’.
Demikian cerita seorang penduduk, Rahmat Alus, 51, yang menjadi mangsa ribut kuat melanda kediamannya di Kampung Belimbing Dalam di sini lewat petang kelmarin.
“Saya nampak bumbung bahagian belakang rumah kami diterbangkan ribut sebelum jatuh kira-kira 50 meter di rumah jiran,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Jelasnya, ketika kejadian dia bersama lima orang ahli keluarga termasuk ibu berusia 81 tahun sedang berehat di ruang tamu sebelum tiba-tiba bumbung rumah tercabut dan terbang.
“Kami sekeluarga berlari menyelamatkan diri ke anjung rumah, saya terus tidak berani nak pandang ke atas sambil berpelukan,” katanya.
Tambahnya, dia hanya mampu melaungkan azan sambil berpelukan sesama ahli keluarga kerana terlalu terkejut susulan bencana itu adalah yang pertama kali berlaku sejak lebih 30 tahun menetap di situ.
Dalam kejadian ribut kuat itu kira-kira 70 buah rumah di dua daerah di negeri ini terjejas.
Kawasan terjejas adalah di Belimbing Dalam dan beberapa lokasi dalam daerah Melaka Tengah termasuk Krubong, Tanah Merah, Lanjut Manis dan Kampung Ladang.
Tinjauan Kosmo! di Kampung Belimbing Dalam mendapati kira-kira 30 buah rumah terjejas dengan kebanyakannya dalam keadaan bumbung rosak akibat diterbangkan ribut.
Sementara itu, Shahrul Jaapar, 39, pula berkata, dia bersama-sama adiknya serta tujuh anak saudara berlari ke ruang tamu rumah selepas mendengar bunyi dentuman bumbung jatuh.
“Adik saya baharu sahaja habis berpantang, dia cepat-cepat mendukung menyelamatkan bayinya berusia sebulan lebih.
“Saya pula dapatkan enam anak saudara yang lain untuk berkumpul di ruang tamu dengan berharap bumbung di bahagian itu tidak tercabut diterbangkan ribut,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt. Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Balai Raya Kampung Belimbing Dalam malam kejadian itu.
“Sebanyak 12 mangsa daripada tiga buah keluarga dipindahkan ke PPS tersebut selepas kediaman mereka terjejas teruk dan terputus bekalan elektrik.
“Sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam juga terjejas akibat ribut itu,” jelasnya.














