PUTRAJAYA – “Sekali pun kes Covid-19 diunjurkan masih lebih 20,000 hujung Mac nanti, saya harap orang ramai teruskan dengan aktiviti pelancongan.”
Harapan itu diluahkan Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis yang berkata, unjuran Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai jangkaan kes Covid-19 tersebut tidak seharusnya menghalang niat rakyat Malaysia untuk melancong.
Bahkan, tegasnya, aktiviti pelancongan perlu diteruskan seperti biasa kerana pandemik itu dapat dikekang sekiranya orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Orang ramai yang telah membuat tempahan tidak kira dari segi tiket atau penginapan, janganlah batalkan. Teruskan melancong tetapi patuhilah SOP.
“Jika pembatalan dibuat, ia memberi kesan kepada pihak industri, yang mana ketika ini menurut data SME Corp. Malaysia (SME Corp), terdapat sekitar 640,000 pemain dalam industri pelancongan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Justeru, beliau berharap semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam mematuhi semua langkah kesihatan dan sosial serta meningkatkan liputan vaksinasi serta dos penggalak.
Katanya, program seperti Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura dan Gelembung Pelancongan Langkawi (GPL) perlu diteruskan kerana membantu menjana ekonomi pemain industri.
Nada sama disuarakan oleh Pengarah Urusan Syarikat Nusantara Discovery Sdn. Bhd., Mohd. Ali Ab. Malik yang berkata, orang ramai perlu bertindak bijak ketika memilih waktu untuk melancong.
“Jadualkan perjalanan anda sebaik-baiknya dan jangan pilih waktu yang sesak seperti musim perayaan. Contohnya cuti sekolah, semestinya lokasi popular akan penuh dengan pengunjung.
“Jangan tunggu waktu puncak baru mahu melancong. Nak guna pengangkutan awam pun kena pastikan SOP dipatuhi,” katanya.
Katanya, berdasarkan statistik semasa, dianggarkan kira-kira 4,000 pemandu pelancong sahaja yang beroperasi ketika ini, berbanding lebih 6,000 syarikat kira-kira dua tahun lalu.
Kosmo! semalam melaporkan, lonjakan kes Covid-19 ketika ini memberi tamparan hebat kepada sektor pelancongan apabila ramai pelanggan membatalkan tempahan yang dibuat ketika cuti sekolah bermula Sabtu ini.














