fbpx

174 kes kanak-kanak alami MIS-C akibat Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Noor Hisham

PUTRAJAYA – Sebanyak 174 kes kanak-kanak bawah 18 tahun telah mengalami Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) akibat jangkitan Covid-19, berdasarkan tempoh sejak Jun 2020 hingga Disember lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, MIS-C merupakan salah satu keadaan kritikal yang boleh berlaku akibat jangkitan Covid-19 iaitu terjadinya keradangan organ dalaman terutamanya jantung, paru-paru dan otak.

Menurutnya, daripada 174 kes tersebut, sebanyak 25 kes atau 14.4 peratus melibatkan kanak-kanak di bawah usia satu tahun manakala, 38 kes atau 21.8 peratus melibatkan kanak-kanak satu tahun hingga bawah lima tahun.

“Seterusnya kanak-kanak usia lima tahun hingga bawah sembilan tahun dengan 64 kes atau 36.8 peratus, kanak-kanak sembilan tahun hingga bawah 12 tahun dengan 36 kes atau 20.7 peratus manakala, 11 kes atau 6.3 peratus kanak-kanak bawah usia atau 12 tahun.

“Sehingga kini, tujuh kes (empat peratus) kematian kanak-kanak telah disebabkan oleh MIS-C susulan jangkitan Covid-19. Kanak-kanak juga berisiko mendapat Long-Covid (sindrom Covid-19 selepas fasa akut jangkitan),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, data terhad yang diperolehi setakat ini menunjukkan risiko ini lebih rendah berbanding orang dewasa, namun buat masa ini tidak banyak yang diketahui mengenai kesan jangka masa panjang Long-Covid kepada kanak-kanak.

“Kumpulan kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan Covid-19 yang serius adalah golongan pesakit kanak-kanak yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, lemah sistem imun badan, kencing manis, sedang menjalani rawatan menggunakan steroid (seperti pesakit autoimun dan transplan), kanser, asma dan obesiti.

“Memandangkan kanak-kanak kini merupakan golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19, antara kaedah utama bagi mengurangkan risiko ini adalah dengan kawalan kendiri dan juga vaksinasi. Vaksin Covid-19 Comirnaty®️ (Pfizer-BioNTech) telah pun diluluskan penggunaannya untuk kanak-kanak lima sehingga 11 tahun di Malaysia,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI