fbpx

Penerima Sinovac tetap perlu ambil dos penggalak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin.

BATU PAHAT – Penerima vaksin jenis Sinovac tetap perlu mendapatkan dos penggalak masing-masing bagi memastikan mereka terus berstatus lengkap vaksinasi sebelum 1 Mac ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihak kementerian menerima apa sahaja pandangan yang diberikan pelbagai pihak, namun arahan semasa berkaitan penerima Sinovac adalah kekal.

“Ya tidak mengapa itu pandangan daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), kita ambil maklum,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke sebuah klinik swasta yang menyediakan perkhidmatan Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan (Peka) B40, di sini hari ini.

Terdahulu, Presiden MMA, Dr. Koh Kar Chai berkata, persatuan itu berpandangan mereka yang telah mengambil dua dos suntikan vaksin Sinovac masih dikategorikan sebagai telah lengkap divaksinasi.

Dalam perkembangan sama, jelas beliau, pihaknya mengakui kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa tiada paksaan untuk ibu bapa mengambil vaksin kepada anak-anak mereka termasuk kepada golongan dewasa.

“Apa Perdana Menteri kata memang betul. Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) atau mana-mana vaksin tak pernah diwajibkan, cuma untuk orang dewasa kalau tidak dapat vaksin penuh akan ada beberapa kemudahan yang tak dapat dilakukan atau tak boleh pergi tempat tertentu misalnya.

“Tetapi (kaedah) ini bukan di Malaysia sahaja, di negara lain kalau nak melancong juga ada yang letak syarat vaksin dan sebagainya. Kita bukan satu-satu negara yang bagi kebebasan kepada mereka yang divaksin penuh.

“Cuma untuk kanak-kanak dan remaja kita tak ada apa-apa syarat, contoh kalau dewasa nak pergi kedai makan mesti vaksin penuh, tetapi kalau anak dia remaja atau kanak-kanak tak perlu,” katanya.

Bagaimanapun, Khairy berkata, kementerian akan memperkasa segala maklumat mengenai pemberian vaksin kepada kanak-kanak memandangkan masih ramai ibu bapa mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI