fbpx

Wang, wanita jadi habuan pelumba haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamarul Zaman Mamat melihat sebahagian lelaki yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di IPK Johor, Johor Bahru hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Satu sindiket perlumbaan haram yang dipercayai menawarkan wang dan wanita sebagai hadiah kemenangan berjaya ditumpaskan dalam satu serbuan yang dijalankan Polis Johor di Plaza Tol Skudai, di sini awal pagi hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan yang dijalankan bermula pukul 2 pagi itu, seramai 126 orang ditahan dengan dua daripada positif penyalahgunaan dadah.

Katanya, dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu, sebanyak 66 buah kenderaan disita.

Antara wanita yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan dibawa ke IPK Johor, Johor Bahru hari ini. – Foto RAJA JAAFAR ALI

“Operasi yang dijalankan ini bertujuan mencegah kegiatan perlumbaan ‘drag race’ yang dijalankan secara haram pada jarak sepanjang kira-kira 500 meter selepas Plaza Tol Skudai menghala ke selatan.

“Berdasarkan pemerhatian selama sebulan, kita mendapati aktiviti ini kerap dijalankan pada hujung minggu dengan diadakan bermula pukul 1 pagi hingga 4 pagi.

“Tindakan mereka ini satu tindakan berbahaya iaitu menggunakan kenderaan yang telah diubahsuai untuk memecut itu mendatangkan bahaya bukan sahaja kepada pemandu tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga tidak menolak perlumbaan itu didalangi satu sindiket yang turut menawarkan habuan wang tunai dan wanita kepada pemenang, namun siasatan lanjut akan dijalankan.

Sementara itu, Pegawai Turus Jabatan Siasatan dan Pengangkutan Trafik (JSPT) Johor, Asisten Superitendan Mohd. Zainuddin Abu Bakar pula memberitahu, mereka yang ditahan terdiri daripada 107 lelaki dan 19 wanita berusia antara 19 hingga 45 tahun.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI