fbpx

Menu pelbagai rasa taruhan terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menu set nasi dengan lauk masak lemak cili padi yang ditawarkan di Coconut Tree Kitchen termasuklah set nasi putih dengan daging salai masak lemak cili padi

 HIDANGAN seperti masak lemak cili api dan juga asam pedas merupakan menu kesukaan rakyat Malaysia dan sering menjadi menu pilihan sebagai makanan tengah hari.

Apabila keluar makan tengah hari bersama rakan-rakan, tekak kita sering memilih makanan seperti nasi dan lauk pauk kerana selain rasanya yang lazat, ia juga amat kena dengan cita rasa dan selera rakyat Malaysia.

Menyedari hakikat tersebut, pengusaha restoran Coconut Tree Kitchen di Kajang, Selangor, mempertaruhkan dua menu tersebut sebagai menu utama di restorannya.

Selain dua menu tersebut, Coconut Tree Kitchen turut menyajikan menu lain seperti nasi ayam penyet, set nasi dengan ikan patin masak lemak tempoyak cili api serta nasi briyani kambing dan juga ayam.

Selaku pengusaha dan juga tukang masak di restoran itu, Khairy Latifi, 57, berkata dia memilih untuk mengetengahkan menu masakan tradisi Melayu di restorannya kerana percaya ia adalah menu terbaik dan penuh dengan pelbagai rasa.

“Sebagai seorang tukang masak yang sudah berpengalaman memasak selama lebih 30 tahun, saya amat menggemari masakan Melayu kerana rasanya yang serba-serbi cukup dan penuh dengan aroma.

“Berbanding masakan Barat, masakan Melayu tradisi yang menggunakan bahan-bahan seperti kunyit, halia, serai, lengkuas dan cili padi mempunyai tarikan tersendiri serta mewujudkan rasa lazat yang luar biasa pada makanan,” katanya.

Tambah Khairy lagi, masakan Melayu juga jarang memerlukan tambahan perisa seperti sos atau keju dan rasa lazatnya itu datang daripada bahan semula jadi dan amat mudah didapati di negara ini.

Menu set nasi dengan lauk masak lemak cili padi yang ditawarkan di Coconut Tree Kitchen termasuklah set nasi putih dengan daging salai masak lemak cili padi, nasi putih dengan ayam masak lemak cili padi dan juga nasi putih dengan itik salai masak lemak cili padi.

Jelas Khairy yang merupakan anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu, menu tradisi dari negeri itu dipelajarinya daripada arwah ibunya.

Harga bagi setiap set masak lemak cili api adalah antara RM7 sehingga RM12.

Bagi set nasi bersama asam pedas pula, Khairy menawarkan menu asalm pedas ikan siakap yang cukup enak dan penuh aroma pada harga RM12 untuk seorang makan.

Set briyani ayam

Bagi mereka yang mahukan sedikit kelainan, mereka boleh mencuba set nasi briyani ayam berharga RM14 atau set nasi briyani kambing berharga RM19.

Khairy berkata nasi briyani terbaik yang pernah dimakannya adalah di Restoran Paradise yang terletak di Hyderabad, India.

Memandangkan dia amat mengagumi kelazatan nasi beriyani di situ, Khairy sempat bertanyakan rahsia kelazatan nasi beriyani daripada restoran tersebut.

“Saya sempat masuk ke dapur restoran itu dan bertanyakan kepada cef di situ tentang rahsia keenakan nasi briyani yang dimasaknya.

“Saya kemudian menggunakan ilmu yang dipelajari itu ke dalam masakan saya untuk dikongsi bersama pengunjung Coconut Tree Kitchen,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI