fbpx

Faktor cuaca tentukan sumber makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BANJIR luar biasa melanda beberapa negeri baru-baru ini memusnahkan sumber bekalan makanan seperti ladang pisang. – GAMBAR HIASAN

Oleh DATUK MOHD. AL KHAFIZ ZAINAL

RANTAIAN bekalan makanan mengalami gangguan besar sejak awal tahun 2020 ekoran sekatan yang dicetuskan oleh krisis kesihatan global.

Sekatan ke atas mobiliti buruh mengakibatkan aktiviti penuaian lebih rendah dan penutupan kemudahan pemprosesan makanan.

Kesesakan logistik menghalang pengangkutan hasil pertanian ke pasaran, manakala penutupan sempadan antarabangsa menjejaskan aliran perdagangan makanan.

Beberapa negara pengeksport makanan juga mengenakan sekatan eksport ke atas bahan makanan ruji utama sepanjang tempoh awal pandemik Covid-19.

Malaysia turut dikejutkan dengan kejadian banjir luar biasa yang merosakkan banyak kemudahan pertanian, terutamanya agro makanan baru-baru ini.

Faktor-faktor ini menyumbang kepada ketersediaan makanan lebih rendah dan lonjakan inflasi harga makanan di Malaysia serta negara lain.

Sebagai satu strategi menyeluruh ke arah meningkatkan keseluruhan persekitaran keselamatan makanan, Malaysia melaksanakan pelbagai dasar berkaitan pertanian yang dianggap penting dalam rangka kerja perancangan ekonomi serta agenda pembangunan negara.

Sejak 1984, tiga Dasar Pertanian Negara (DPN) dilaksanakan untuk menyokong transformasi struktur negara daripada negara berasaskan pertanian kepada ekonomi berasaskan perindustrian dan perkhidmatan.

Terdapat keperluan kritikal bagi memastikan keselamatan makanan Malaysia dipelihara dengan menangani cabaran utama untuk membekalkan risiko dalam serta luar negara.

Sumber bekalan makanan yang diimport menawarkan pelbagai kelebihan, terutamanya jika kos pengeluaran bahan makanan sama dihasilkan dalam negara lebih mahal.

Apa membimbangkan adalah penumpuan import yang berlebihan daripada sumber pasaran tertentu.
Sebagai contoh, 70 peratus bekalan daging kambing Malaysia diimport dari Australia, manakala mangga, kelapa dan daging lembu diimport dari Thailand, Indonesia serta India.

Ini mendedahkan negara kepada risiko terutamanya peningkatan ancaman perubahan iklim, ketidaktentuan dalam dasar eksport makanan, selain potensi lonjakan permintaan global yang didorong oleh perubahan dalam keutamaan diet serta peralihan dinamik populasi.

Risiko fizikal berpunca daripada perubahan iklim adalah merentas sempadan, bukan sahaja merosakkan pengeluaran pertanian domestik, tetapi negara pengeksport makanan lain.

Selain kemusnahan langsung dalam aset pertanian seperti ladang, bencana berkaitan cuaca melampau dan pelepasan karbon lebih tinggi juga menjejaskan pertumbuhan, hasil pengeluaran serta nilai tanaman.

BENCANA alam seperti banjir dan kemarau turut mempengaruhi hasil pengeluaran tanaman di seluruh dunia. – GAMBAR HIASAN

Ini akan mendorong turun naik harga makanan dan mewujudkan tekanan inflasi kepada negara pengimport.

Menurut McKinsey Global Institute (2020), 60 peratus bekalan bijirin dunia dihasilkan di lima negara iaitu China, Amerika Syarikat (AS), India, Brazil dan Argentina.

Pengeluaran bekalan jagung Brazil menjunam sebanyak 58 peratus pada 2021 akibat kekeringan melampau.

Walaupun berbeza dalam skala dan skop, banyak negara di dunia menghadapi cabaran keselamatan makanan dengan set penyelesaian sepadan berbeza.

Bagi Malaysia, jurang utama terletak pada ekosistem bekalan.

Sudah tentu campur tangan dari segi permintaan juga penting terutamanya dalam membentuk keutamaan terhadap penggunaan makanan berdasarkan piawaian pemakanan betul.

Penekanan berlebihan terhadap makanan sara diri berasaskan import harus diganti dengan keterdesakan jaminan keperluan pemakanan.

Tambahan pula, tumpuan lebih besar terhadap pengeluaran sayur-sayuran, buah-buahan, protein haiwan dan produk ikan berpotensi menjana nilai tambah lebih tinggi di peringkat ladang, dengan limpahan positif yang mengalir di sepanjang rantaian bekalan makanan.

Malaysia perlu mempelbagaikan sumber import produk makanan.

Risiko kebergantungan kepada beberapa pembekal luar terpilih boleh diminimumkan dengan mengukuhkan keupayaan perolehan global Malaysia.

Agensi kerajaan berkaitan perlu bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk mengenal pasti sumber alternatif produk makanan daripada pelbagai pasaran global, pengedar dan pemborong.

Dalam masa gangguan bekalan ini, membolehkan pengimport domestik lincah dengan mendapatkan pesanan pembelian daripada pihak lain.

Secara umumnya, Malaysia lebih mengutamakan tanaman perindustrian seperti sawit, getah dan koko dengan mengorbankan tanaman makanan.

Sepatutnya, tanaman selingan dalam ladang kelapa sawit seperti pokok pisang, ubi kayu dan nanas bukan sahaja mampu mengurangkan penggunaan baja serta racun, tetapi membantu menstabilkan pendapatan petani.

Tanah dan bangunan terbiar boleh diguna untuk menanam pelbagai tanaman makanan ekoran pembangunan pesat dalam agroteknologi seperti penanaman hidroponik dan lain-lain kaedah pertanian moden.
——————————————————————————————————————————————————–
DATUK MOHD. AL KHAFIZ ZAINAL ialah Pengerusi Eksekutif Makmur Group Berhad yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Teknikal Malaysia Melaka Holdings, sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dalam bidang Pengurusan Keselamatan & Jaminan Makanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI