fbpx

Rookie Cops debut lakonan Kang Daniel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DRAMA Rookie Cops menyaksikan gandingan sulung Kang Daniel dan Chae Soo-bin.

SELEPAS hampir lima tahun berkecimpung dalam dunia seni, bintang idola popular Korea Selatan, Kang Daniel tidak pernah terbuka hati untuk menyertai dunia lakonan.

Sebaliknya, Kang Daniel lebih selesa dengan kariernya sebagai penyanyi dan juga pengacara. Namun, segalanya berubah selepas dia menerima tawaran untuk membintangi drama Rookie Cops.

Menurut bintang berusia 26 tahun itu, skrip drama yang menarik dan segar membuatkan hatinya tertarik untuk terlibat dalam naskhah berkenaan meskipun sedar tidak mempunyai pengalaman lakonan.

“Sebenarnya ramai rakan-rakan senior dan orang sekeliling saya dalam industri seni sering bertanya bilakah saya akan muncul dalam drama televisyen?

“Jawapan yang akan saya berikan adalah saya tidak tahu dan tidak pasti. Namun, segalanya berubah sebaik menerima skrip drama Rookie Cops. Skripnya seperti sebuah novel dan sangat menarik untuk dibaca,” katanya dalam temu bual secara virtual anjuran Disney+ Hotstar baru-baru ini.

Penyanyi lagu 2U itu juga menyifatkan drama Rookie Cops dekat dengan dirinya kerana mengisahkan cerita tentang anak-anak muda yang merupakan pelajar baharu di Korean National Police University.

“Drama ini sangat dekat dengan jiwa saya kerana saya juga menghadapi perkara yang sama ketika mula-mula mahu terjun dalam dunia seni dengan menyertai program realiti Produce 101.

“Saya rasa jika mahu berlakon dalam mana-mana projek, drama Rookie Cops dan watak yang diberikan adalah pilihan terbaik,” ujar bekas anggota kumpulan Wanna One itu.

Tambah penyanyi itu, watak Wi Seung-hyeon yang dilakonkannya adalah seorang yang bijak dan dipandang tinggi oleh orang sekeliling. Malah, dia memasuki akademi polis berkenaan kerana mahu mengikut jejak langkah bapanya iaitu seorang pegawai polis berpangkat tinggi.

Sungguhpun begitu kata Kang Daniel, watak yang dilakonkan dalam drama berkenaan sangat berbeza dengan dirinya yang sebenar.

Justeru, sebagai persiapan sebelum memasuki set peng­gambaran Rookie Cops, dia mengikuti kelas aksi, selain meminta pandangan dan nasihat daripada rakannya yang merupakan seorang anggota polis.

“Saya mempunyai rakan yang bekerja sebagai anggota polis dan dia menjadi tempat rujukan untuk watak Seung-hyeon. Saya juga berusaha keras dalam kelas aksi kerana watak ini begitu tangkas dan banyak melibatkan adegan aksi.

“Dia seorang yang suka menegakkan keadilan. Saya secara peribadi juga begitu. Namun, caranya berbeza. Jika watak ini akan terus beraksi seperti hero, tetapi realitinya saya akan mengambil masa untuk berfikir terlebih dahulu sebelum membuat laporan polis,” katanya sambil ketawa.

Sementara itu, aktres popular Chae Soo-bin mendedahkan dia berasa bimbang saat mendengar nama Kang Daniel menjadi pelakon gandingannya kerana drama arahan Kim Byung-soo tersebut merupakan debut lakonan penyanyi itu.

Bimbang

“Sejujurnya, saya berasa bimbang saat mendengar namanya sebagai pasangan dalam drama ini. Sebabnya, dia tidak pernah berlakon sebelum ini.

“Jadi, saya tidak dapat melihat sejauh mana bakat lakonannya. Perasaan bimbang itu akhirnya hilang selepas melihat dia sangat seronok berlakon dan sentiasa berfikir di luar kotak.

“Dia juga tidak pernah membuat kesalahan ketika penggambaran dan sebagai rakan pelakon, saya gembira melihat usahanya,” tutur Soo- bin yang sebelum ini popular dengan drama I’m Not a Robot.

Demi memenuhi watak sebagai Go Eun-gang, aktres berusia 27 tahun yang sinonim dengan imej rambut panjang itu sanggup memotong pendek rambutnya.

“Dalam drama sebelum ini, saya memang dikenali dengan imej rambut panjang, tetapi demi memberi kelainan dan kelihatan realistik saya sanggup memotongnya.

“Saya berharap penonton dapat melihat kelainan watak dan imej yang saya bawakan” ujar Soo-bin.

Drama berkenaan yang turut dilakonkan Lee Shin-young dan Park Yoo-na telah mula bersiaran dalam laman penstriman popular Disney+ Hotstar bermula 26 Januari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI