fbpx
KEADAAN kediaman yang disewa Qurashi selepas serbuan tentera AS di bandar Atme, wilayah Idlib pada 3 Februari lalu. - AFP

Tentera elit AS serbu rumah Ibrahim al-Hashimi al-Qurashi di Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATME, Syria – Apabila tentera Amerika Syarikat (AS) terbang melintasi bandar Atme di Syria di mana ketua kumpulan Daesh bersembunyi, penduduk setempat, Mahmoud Shehadeh menyangka bunyi bising helikopter-helikopter tempur sebagai ribut.

Apa yang dia lihat semasa melangkah keluar untuk memeriksa cuaca mengejutkannya. Hanya setengah jam menjelang Khamis lepas, helikopter-helikopter AS mengepung sebuah rumah jirannya, manakala corong pembesar suara menyampaikan mesej kepada penduduk.

“Kami melihat pesawat terbang di atas kepala kami dan selepas sepuluh minit, kami mendengar mereka (askar AS) menjerit (kepada seorang wanita): ‘serah diri anda, rumah ini sudah dikepung.

“Saya tidak tahu sama ada dia menyerah diri atau tidak,” kata Mahmoud kepada agensi berita AFP, sejurus selepas operasi diketuai AS itu berakhir dengan ketua Daesh, Ibrahim al-Hashimi al-Qurashi meletupkan dirinya.

Penduduk Atme yang merupakan sebuah bandar di wilayah Idlib, barat laut Syria dan bersempadan dengan Turki, mendengar bunyi berbalas tembakan termasuk tembakan dilepaskan daripada helikopter-helikopter tempur AS tersebut.

Ia berterusan selama kira-kira dua jam sebelum tentera elit AS itu menyerbu rumah Qurashi.

Kumpulan Pemantau Hak Asasi Syria (SOHR) berkata, orang awam merupakan antara sekurang-kurangnya 13 orang yang terbunuh dalam operasi itu.

Apabila helikopter-helikopter AS mula mendarat, penduduk menyangka tentera AS sedang menyasarkan ketua pergerakan Al-Qaeda.

Ini kerana pasukan khas AS telah melancarkan beberapa operasi terhadap komander Al-Qaeda di kawasan Idlib sejak beberapa bulan lalu.

Atme yang merupakan kawasan terakhir aktif menentang rejim Presiden Bashar al-Assad, didiami oleh lebih tiga juta penduduk dan didominasi oleh militan.

Jiran Qurashi yang hanya mahu dikenali sebagai Abu Ali berkata, tentera AS menyampaikan mesej meminta penduduk bertenang dari corong-corong pembesar suara pada helikopter-helikopter mereka.

Dia mendengar tentera Amerika berkata: “Jangan takut. Kami hanya datang ke rumah ini… untuk membebaskan kamu daripada pengganas.”

Penduduk Atme terkejut setelah mendapat tahu bahawa jiran mereka yang tinggal di sebuah rumah sederhana dua tingkat yang dikelilingi pokok zaitun itu sebenarnya adalah ketua Daesh.

Quraishi adalah antara lelaki yang paling dikehendaki di dunia. Dia tinggal di rumah itu bersama keluarga dan saudara perempuannya.

Malah, pemilik rumah tersebut, Mohamed al-Sheikh keliru mendengar berita tersebut. Ini kerana selama ini dia menyangka telah menyewakan rumah itu kepada seorang pemandu teksi.

Menceritakan operasi itu dalam satu ucapan di televisyen, Presiden AS, Joe Biden berkata, Qurashi meletupkan bom semasa serbuan itu yang menyebabkan dia dan ahli keluarganya terbunuh termasuk wanita dan kanak-kanak.

Al-Sheikh berkata, Qurashi telah menyewa rumah itu kira-kira setahun yang lalu.

Dia tinggal di tingkat bawah bersama isteri dan tiga anaknya. Saudara perempuan Qurashi dan anak perempuannya pula tinggal di tingkat atas.

“Lelaki ini tinggal di sini (rumah) selama 11 bulan. Saya tidak perasan apa-apa pelik mengenainya.

“Dia akan membayar saya sewa dan pergi,” kata Al-Sheikh.

Kali terakhir dia melihat penyewanya itu, kata Al-Sheikh, adalah ketika dia sedang memetik buah zaitun berhampiran rumah tersebut. Qurashi membawakannya secawan kopi dan mereka duduk untuk berbual.

“Dia kelihatan seperti “orang yang mudah mesra, lembut dan ceria,” kata Al-Sheikh.

Nama julukan Qurashi ialah ‘Pemusnah’ dan dia mempunyai reputasi untuk kekejaman. Qurashi memainkan peranan utama dalam kempen keganasan pada 2014 untuk membunuh dan memperhambakan etnik Yazidi di Iraq.

Kini identitinya terbongkar, manakala A-Sheikh berang kerana rumahnya telah rosak.

“Kalau saya tahu tentang dia, awal-awal lagi  saya takkan benarkan dia tinggal di rumah saya,” katanya. – AFP

POPULAR