SATU ketika dahulu, bila sebut sahaja asrama sama ada di sekolah atau pusat pengajian lain, terbayang di kepala masing-masing persekitarannya yang agak menyeramkan apatah lagi kedudukan tandas terletak di hujung bangunan.
Banyak cerita mengenai asrama yang berhantu kita dengar melalui pembacaan dan kebanyakannya adalah kisah benar. Itulah yang ingin ditampilkan dalam kolum Mitos minggu ini mengenai satu kejadian menyeramkan di asrama sebuah pusat pengajian tinggi suatu ketika dahulu.
Kisah menyeramkan itu berlaku selepas dua rakan sebilik dikacau makhluk besar dan hitam di dalam bilik penginapan. Bukan itu sahaja, selepas itu ramai pelajar mengalami histeria akibat diganggu makhluk terbabit.
Walaupun telah 15 tahun berlalu, namun peristiwa seram semasa belajar di sebuah pusat pengajian tinggi di negeri utara tanah air masih terbayang di fikiran Azura, 33, (bukan nama sebenar) yang kini bertugas sebagai seorang penjawat awam di Ipoh, Perak.
Kejadian menyeramkan itu berlaku pada tengah malam selepas dia dan seorang rakan sebilik, Anissa selesai mengulangkaji pelajaran di bilik penginapan mereka.
Katanya, cuaca yang agak panas menyebabkan dia dan rakannya bersetuju untuk membuka tingkap supaya mendapat pengudaraan lebih baik dan selesa untuk tidur.
“Kami buka tingkap supaya angin dapat masuk, tetapi lain pula jadinya,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Menurut Azura, kedudukan katilnya dan Anissa bersebelahan hingga dia boleh melihat apa yang terjadi kepada rakan baiknya itu.
Katanya, pada mulanya dia mendengar suara perempuan menangis dan terus memandang Anissa.
“Saya terkejut apabila melihat ada penampakan makhluk yang besar, hitam dan berambut lurus dengan wajah mengerikan berada di hujung kaki Anissa.
“Waktu itu, saya rasa mahu menjerit, tetapi risau keadaan akan menjadi cemas dan kelam-kabut,” katanya.
Ujarnya lagi, makhluk itu bukan sahaja duduk di hujung kaki Anissa, tetapi turut berbisik di telinga rakan sebiliknya itu.
Jelas Azura, makhluk itu naik ke atas badan Anissa dan membisikkan sesuatu dan dia hanya mampu berpaling menghadap dinding dan berselimut.
Secara tiba-tiba dia rasa ada sesuatu di belakang telinganya, namun kuatkan semangat supaya tidak menjerit hingga akhirnya tertidur.
Keesokan harinya, rakan sebiliknya bertanya adakah dia bermimpi sehingga mengigau kerana mendengar sesuatu yang aneh.

“Anissa tanya saya, saya mengigau ke? Pagi itu, setelah keluar dari bilik dan dalam perjalanan ke kelas, saya menceritakan apa yang berlaku pada malam itu,” katanya.
Azura berkata, rakannya itu nampak ketakutan apabila mengetahui apa yang terjadi pada dirinya hingga menyebabkan dia demam.
Mereka kemudian bertemu wakil pelajar yang aktif dalam kolej kediaman supaya bacaan Yasin dapat diadakan bagi menghalau gangguan tersebut.
Namun lain pula terjadi, ketika bacaan Yasin diadakan di bilik Azura, pelajar lain pula diganggu.
“Sewaktu bacaan Yasin dibuat, ramai pelajar yang berada di tingkat yang sama dikacau sehingga kesemuanya mengalami histeria,” katanya.
Azura berkata, itu merupakan pengalaman pertamanya melihat hantu dan menyaksikan ramai pelajar dirasuk secara serentak.
Secara tiba-tiba juga, lampu di bangunan asrama itu terpadam dan terdengar sayup-sayup suara perempuan menangis seakan-akan mengilai.
Kejadian menakutkan tidak terhenti di situ. Selepas bangunan asrama kembali bercahaya, beberapa pelajar perempuan seakan dirasuk.
“Suara mereka berubah menjadi lebih kasar dan garau dan ada juga yang menari tarian tradisional ulek mayang,” katanya.
Tegasnya, warden asrama bersama-sama beberapa orang pelajar lelaki datang untuk membantu mereka yang ‘dikacau’ oleh makhluk misteri yang menjadi ‘tetamu’ tidak diundang.
“Selepas tamat pengajian, tiada lagi kejadian seram di asrama setelah pihak kolej mendapatkan bantuan beberapa pengamal perubatan Islam untuk memulihkan keadaan di situ,” ujarnya.
————————————————————————————————————————————————————
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat
di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.














