fbpx

Keena Mentor tidak kisah dilabel artis ‘sendu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEENA MENTOR

PETALING JAYA – Selepas lebih sedekad berkecimpung dalam dunia seni, penyanyi Keena Mentor tidak kisah andai dirinya dilabel sebagai artis sendu.

Sedar dirinya tidak popular seperti teman seperjuangan yang lain Keena atau nama sebenarnya, Suriana Abdul Wahab, 36, menjelaskan meskipun dipandang sepi oleh segelintir pihak, dia tetap bersyukur kerana rezekinya tidak pernah putus.

“Saya tidak kisah kalau orang kata saya artis sendu, mungkin saya tidak popular kerana tidak ada sebarang kontroversi.

“Sebagai anak seni, kalau boleh saya mahu orang nampak bakat saya bukannya kontroversi. Saya akui mungkin lebih popular jika ada kontroversi, tetapi orang tidak akanmemberi sokongan sebaliknya hanya mencemuh,” ujar Keena.

Keena yang mula dikenali selepas menyertai program realiti Mentor musim ketiga pada 2009 memberitahu, selepas 13 tahun dalam industri seni dia sudah tidak menitikberatkan soal populariti.

“Sendu-sendu saya pun , saya sudah berlakon banyak drama dan telah melahirkan hampir 20 buah single. Sejak tahun lepas saya telah dilantik menjadi ikon Antidadah selama tiga tahun.

“Saya juga kini sedang sibuk sebagai pengacara program travelog berjudul Roda Permotoran Malaysia yang bakal memasuki musim kedua.

“Jadi, saya tidak menghilang sebaliknya begitu sibuk dengan kerja. Selain itu, saya juga bakal mengeluarkan single terbaharu tidak lama lagi,” kongsi Keena yang ditemui pada majlis pelancaran Hari Usahawan Negara 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) baru-baru ini.

PENYANYI, Keena Mentor tak kisah digelar artis ‘sendu’ dan percaya dengan rezeki dalam dunia seni tanah air. Foto – HAYATI KARIM

Menyentuh tentang perkembangan terbaharunya karier seninya, Keena bersyukur apabila dilantik menjadi penyanyi lagu tema Hari Usahawan Negara 2022 (HUN 2022) yang akan berlangsung pada 24 hingga 28 Mac depan di WTC.

“Lagu yang berjudul Hari Usahawan Negara itu dicipta oleh Amy Ukays dan lirik oleh Datuk Sri Abu Hasan Mohd. Nor mengambil masa sehari sahaja untuk proses rakaman.

“Sebagai penyanyi, saya berasa cukup bertuah kerana terpilih untuk menyanyikan sebuah lagu tema acara besar seperti HUN 2022.

“Bukan itu sahaja, saya bersama kelab motosikal berkuasa tinggi, Black Horses MG juga akan mengikuti program jelajah HUN 2022 ke setiap negeri di Malaysia,” katanya yang turut mengeluarkan pelbagai produk kecantikan di bawah jenama Ibu Yah Wook.

Berbicara soal peribadinya, Keena yang telah bertunang dengan jejaka pilihan hatinya dua tahun lalu mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga selepas raya tahun ini.

“Kami telah berkawan selama lima tahun dan bertunang selama dua tahun, jadi rasanya tidak perlu tunggu lagi lebih baik berkahwin sahaja,” ujar Keena.

Sungguhpun begitu, Keena berasa sedih kerana arwah ibunya, Sofiah Wook tidak dapat berada di hari bahagianya kerana meninggal dunia pada tahun lalu akibat radang paru-paru.

“Saya gembira untuk berkahwin tetapi dalam masa sama berasa sedih dan ralat kerana arwah ibu tiada bersama-sama sepanjang proses perkahwinan.

“Walhal semasa hayatnya, arwah ibu yang paling seronok apabila saya bertunang dan akan berkahwin. Saya anak yang paling bongsu daripada lapan adik-beradik jadi memang sangat manja dengannya.

“Jiwa memang rasa kosong untuk beberapa bulan pertama selepas pemergian ibu. Namun, ibu sempat menitipkan pesanan kepada bakal suami untuk menjaga saya sebaiknya seolah-olah tahu dia akan pergi dahulu,” luah Keena.

Selain menitipkan doa, sebagai tribute untuk mengenang jasa ibunya, Keena telah menghasilkan dua buah single berjudul Istimewa Ibu dan Anggun pada tahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI