fbpx

Makan tertib, jaga personaliti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAKAN dengan perlahan dan sekiranya mahu berbual dengan teman bersebelahan elakkan ketika mulut dipenuhi makanan.

ADA ketikanya kita mendapat undangan menghadiri majlis-majlis jamuan yang dilangsungkan secara rasmi atau formal di hotel terkemuka.

Biasanya, majlis rasmi dianjurkan bagi menjayakan program-program berbentuk penganugerahan atau perasmian yang dihadiri individu berjawatan penting di dalam sesebuah organisasi.

Bagi menghadiri majlis rasmi, seseorang itu bukan sahaja perlu berpakaian formal, malah harus menjaga adab dan tertib sepanjang acara berlangsung.

Hal ini kerana kehadiran seseorang di majlis rasmi bukan saja secara individu, bahkan membawa nama organisasi diwakili terutamanya syarikat kita bekerja.

Salah satu adab atau tertib ketika berada dalam majlis rasmi adalah sewaktu di meja makan kerana ia dapat mencerminkan tingkah laku dan peribadi seseorang.

Justeru minggu ini, K2 ingin berkongsi beberapa tip berkaitan adab dan tingkah laku yang perlu dipraktikkan sewaktu di meja makan pada majlis rasmi.

1. Tertib ketika duduk

Ketika ingin duduk di kerusi, anda perlu masuk melalui sebelah kanan kerusi (dari pandangan belakang).
Bagi suami isteri, jika datang bersama, isteri perlu duduk di kerusi sebelah kiri suami, namun bergantung kepada kesesuaian.

Selepas duduk, jangan sesekali berpeluk tubuh, sebaliknya perlu diletakkan kedua-dua tangan di atas paha.

Elakkan meletak tangan di atas meja makan. Jika anda ingin letak juga hadkan setakat pergelangan tangan sahaja.

2. Penggunaan napkin

Biasanya napkin diletakkan di depan kita sama ada di atas pinggan atau meja.Buka lipatan napkin secara perlahan-lahan sebelum diletakkan di atas paha.

Lipat sedikit bucu atas ke sebelah dalam untuk keselesaan.

Sekiranya majlis sudah selesai atau anda ingin bangun mengambil makanan, napkin perlu diletakkan di atas meja. Tidak perlu lipat kembali, cukup sekadar meletakkannya.

NAPKIN perlu dibuka dengan perlahan sebelum diletakkan di atas paha ketika duduk di meja makan.

3. Elak makan awal

Jangan mula makan makanan yang dihidangkan di atas meja sebelum tetamu utama menjamahnya. Jika meja bulat, tunggu semua tetamu di meja anda sudah mendapat hidangan sebelum menjamahnya.

Sekiranya duduk di meja panjang, anda boleh menjamah makanan setelah tetamu di depan, kiri dan kanan sudah mendapat makanan mereka.

4. Adab ketika makan

Jangan sesekali bercakap semasa makanan penuh di dalam mulut kerana dikhuatiri akan tercekik sehingga membawa malu.

Elakkan juga bertanya sesuatu perkara kepada tetamu yang mulutnya sedang penuh dengan makanan. Ia akan menyebabkan tetamu berkenaan berasa kurang selesa.

Ketika mengunyah makanan, anda digalakkan menutup mulut bagi mengelak ia berbunyi sekali gus dilihat sebagai tidak sopan.

MAKAN hanya setelah mendapati tetamu utama menjamahnya.

5. Kedudukan sudu, garpu

Jika anda belum selesai makan dan perlu bangun ke bilik air, sudu (atau pisau) dan garpu perlu diletakkan di atas pinggan makan dengan kedudukan sudu di sebelah kanan dan garpu di sebelah kiri.

Ia sebagai isyarat kepada pelayan bahawa anda belum selesai makan dan tidak perlu mengangkat pinggan tersebut.

Sekiranya sudah selesai makan, letak sudu dan garpu secara bersama dalam pinggan di sebelah kanan. Ia menandakan anda sudah selesai menjamah hidangan dan pelayan boleh mengambil pinggan itu.

PASTIKAN pisau atau sudu dan garpu diletakkan pada kedudukan yang betul.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI