LAHAD DATU – Tiga pengikut kumpulan ‘Wali Tujuh’ yang membawa ajaran batin dan kebal ditahan Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam serbuan di sebuah rumah pekerja di Ladang Bukit Keram, Kinabatangan semalam.
Komander ESSCOM Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dan ditahan untuk siasatan lanjut oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan berikutan disyaki terbabit kegiatan ajaran meragukan.
“Beberapa barang peribadi milik salah seorang individu iaitu kalender putikaan, pisau, senjata jenis lastik dan pelbagai jenis tangkal dirampas turut dirampas susulan penahanan suspek terbabit.
“Berdasarkan risikan awal, kumpulan ini diketuai oleh seorang guru dengan dibantu dua individu.
“Kumpulan ini bergiat aktif sejak tiga bulan lalu dengan membawa ajaran ilmu batin dan kebal yang telah berkembang pantas serta cuba menarik minat penyertaan pekerja ladang khususnya warga asing di sekitar Lahad Datu dan Kinabatangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kumpulan terbabit pada waktu ini mempunyai seramai 20 pengikut terdiri daripada warga asing yang juga pekerja ladang di sekitar daerah berkenaan.
Menurut Hamzah, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak terpengarah dengan ajaran atau dakyah baharu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana individu dan kumpulan yang sengaja mengganggu gugat ketenteraman awam dan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE),” katanya. – K! ONLINE














